Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tujuh kawasan DUN Pandamaran terjejas banjir kilat, tiga keluarga dipindahkan

SHAH ALAM, 20 OKT: Kira-kira 500 rumah di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran terjejas akibat banjir kilat petang tadi.

Kawasan berkenaan ialah Jalan Mohd Yamin; Taman Chi Liung, Klang; Taman Chi Liung, Pandamaran; Taman Bayu Perdana; Taman Melawin dan Jalan Sekolah Perlabuhan Klang.

Wakil rakyatnya, Tony Leong Tuck Chee berkata setakat ini tiga keluarga membabitkan lapan individu dari Jalan Mohd Yamin telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah.

“Saya telah minta ahli majlis untuk mengenal pasti sama ada terdapat mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat banjir kilat ini dan jika ada kita akan bantu mereka.

“Kita juga akan periksa rumah-rumah pam sama ada berfungsi atau tidak kerana kita terima maklumat pam di Bayu Perdana tidak berfungsi dan pihak MPK (Majlis Perbandaran Klang) telah ke sana untuk dibaiki,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Tuck Chee berkata situasi banjir kilat itu makin reda selepas beberapa kawasan mulai surut dan beliau berharap hujan tidak lagi lebat bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat, petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5.55 petang.