Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar: Kuala Langat terkawal, tidak jejas gerai dan kiosk

SHAH ALAM, 5 NOV: Semua gerai dan kiosk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak terjejas biarpun berlaku fenomena air pasang besar.

Ketua skuad Pantas MPKL berkata keadaan di sepanjang pesisir pantai di Kuala Langat masih terkawal selain pemantauan terus dijalankan.

“Lokasi pemantauan ialah di Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni, Pantai Batu Laut, Jeti Tanjung Sepat dan Pantai Chunang.

“Paras air laut tertinggi direkodkan ialah 5.6 meter pada jam 6.02 pagi tadi. Namun air kembali surut pada jam 8 pagi,” kata Mazlan Abdul Manap kepada SelangorKini.

Beliau berkata, terdapat beberapa pelancong yang cuba memasuki kawasan pantai tetapi mereka berpatah balik setelah melihat larangan pada kain rentang.

Pada 30 Oktober, MPKL menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini, susulan itu MPKL menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.