Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan negeri: Penggiat pelancongan harap bantuan geran kewangan dilanjut

SHAH ALAM, 22 NOV: Penggiat sektor pelancongan negeri ini berharap bantuan geran kewangan berjumlah RM1 juta dilanjutkan tahun depan melalui Belanjawan #Selangor2022.

Insentif secara pengembalian kewangan wajar diteruskan bagi mempergiat aktiviti promosi pelancongan Selangor dan luar negeri, kata pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor.

“Memandangkan sektor pelancongan sudah dibenarkan, kita minta Kerajaan Selangor pertimbang untuk sambung semula bantuan ini supaya kita boleh promosi pelancongan dalam dan luar negeri.

“Geran ini sememangnya banyak membantu kami (penggiat sektor pelancongan), namun buat masa ini tidak boleh digunakan untuk promosi pelancongan luar Selangor,” kata Gopalan Mariappan ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan bernilai RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 merangkumi geran bantuan kewangan, baucar pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran pendigitalan dan bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan negeri.

Melalui inisiatif geran bantuan kewangan, amaun boleh dituntut berdasarkan satu penyertaan atau pelaksanaan iaitu 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut kelayakan maksimum yang mana lebih rendah.