Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kes pertama mutasi Delta dikesan di Malaysia

SHAH ALAM, 6 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes pertama Covid-19 subvarian Delta (Delta AY.4.2) di negara ini membabitkan jangkitan import.

Kes varian dalam siasatan (VUI) dikenal pasti di pintu masuk antarabangsa membabitkan pelajar Malaysia yang pulang dari United Kingdom, maklum kementerian itu.

“Kedua-dua rakyat Malaysia ini sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2 Oktober dan menjalani ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) dan didapati negatif bagi sampel pertama.

“Bagaimanapun, keputusan positif apabila diuji pada sampel kedua pada 7 Oktober dalam tempoh kuarantin,” menurut KKM di Twitter hari ini.

Kementerian itu memaklumkan vaksin digunakan ketika ini masih berkesan terhadap varian berkenaan, namun kuarantin dan pengujian mampu mengurangkan risiko penularan.

“Varian AY.4. adalah salah satu cabang Delta ddengan lebih 75 jenis berasal dari Delta. Salah satu sublineage AY.4 adalah Varian AY.4.2, juga dikenali sebagai ‘Delta Plus’.

“Varian AY.4.2 ini mempunyai dua mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V,” jelas KKM.

Pada 24 Oktober, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom mengesahkan mutasi virus Covid-19 varian Delta dapat menular lebih mudah dan pantas.

Delta AY.4.2 kini diberikan nama rasmi VUI-21OCT-01 berikutan subvarian itu menjadi semakin umum di serata negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.