Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.
SHAH ALAM, 6 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes pertama Covid-19 subvarian Delta (Delta AY.4.2) di negara ini membabitkan jangkitan import.
Kes varian dalam siasatan (VUI) dikenal pasti di pintu masuk antarabangsa membabitkan pelajar Malaysia yang pulang dari United Kingdom, maklum kementerian itu.
“Kedua-dua rakyat Malaysia ini sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2 Oktober dan menjalani ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) dan didapati negatif bagi sampel pertama.
“Bagaimanapun, keputusan positif apabila diuji pada sampel kedua pada 7 Oktober dalam tempoh kuarantin,” menurut KKM di Twitter hari ini.
Kementerian itu memaklumkan vaksin digunakan ketika ini masih berkesan terhadap varian berkenaan, namun kuarantin dan pengujian mampu mengurangkan risiko penularan.
“Varian AY.4. adalah salah satu cabang Delta ddengan lebih 75 jenis berasal dari Delta. Salah satu sublineage AY.4 adalah Varian AY.4.2, juga dikenali sebagai ‘Delta Plus’.
“Varian AY.4.2 ini mempunyai dua mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V,” jelas KKM.
Pada 24 Oktober, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom mengesahkan mutasi virus Covid-19 varian Delta dapat menular lebih mudah dan pantas.
Delta AY.4.2 kini diberikan nama rasmi VUI-21OCT-01 berikutan subvarian itu menjadi semakin umum di serata negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Imbasan mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (objek biru bulat) muncul dari permukaan sel yang dikultur di makmal, yang menyebabkan Covid-19. Virus itu diasingkan dari seorang pesakit di Amerika Syarikat pada 27 Februari 2020. Foto AFP
SHAH ALAM, 28 MEI: Covid-19 menular lebih cepat dan meluas, termasuk jenis baharu yang dikesan bermutasi dari India (B.1.617), United Kingdom (B.117) dan Afrika Selatan (B.1.351).
Kementerian Kesihatan Malaysia percaya varian yang membimbangkan (VOC atau variant of concern) dibawa masuk pengembara ke negara ini.
Sesuatu virus kerap bermutasi, atau berubah kod genetiknya, bagi memastikan kelangsungan hidupnya dalam tubuh manusia. Perubahan kod virus SARS-CoV-2 menyebabkan wujudnya varian yang lebih berbahaya.
Penyelidik menjejak perubahan arahan kod protein tegak di dinding luar virus, bahagian yang berperanan menyerang sel manusia.
VOC boleh menyebabkan:
penularan jangkitan yang pantas
jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi hingga membawa kematian
kesan perlindungan vaksin berkurangan
jangkitan sukar dikesan melalui ujian makmal
(sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, 24 April 2021)
Ciri-ciri VOC seperti berikut:
merebak lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian lebih tinggi
kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala batuk atau selesema
mengalami sakit sendi, lemah badan, lesu dan hilang selera makan
merebak terus ke paru-paru; tanda radang hanya dikesan melalui sinar-X
saringan lazimnya menunjukkan keputusan negatif walau pesakit tahap serius
(sumber: Infografik BERNAMA, 18 Mei 2021)
United Kingdom (B.117)
dikesan di United Kingdom pada Disember 2020
tersebar ke lebih 70 negara termasuk India
sebilangan besar kes Covid-19 di UK
mutasi menjadikan virus lebih mudah masuk ke sel manusia dan membiak
tingkatkan risiko kematian berbanding virus bukan B.117
Mutan berganda India (B.1.617)
pertama kali dikesan di India pada Disember 2020
meliputi hampir 70 peratus kes di India
merebak sekurang-kurangnya ke lapan negara, antaranya United Kingdom, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat
mutasi E484Q mudah masuk ke sel manusia dan menyebar jangkitan
mutasi L425R pula meningkatkan kadar jangkitan
mungkin bantu virus elak antibodi yang dihasilkan vaksin atau jangkitan sebelumnya
Afrika Selatan (B.1.351)
dikesan di negara ini pada Oktober 2020
menyumbang lebih 90 peratus sampel SARS-CoV-2 di negara ini
ditemui di lebih 30 negara
ada dua mutasi lain iaitu E484K dan K417N yang lemahkan sistem ketahanan badan untuk melawan virus
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 7 MAC: Varian Nigeria B1.525 daripada Covid-19 mempunyai mutasi penting dalam spike protein, tetapi ia tidak menjejaskan keupayaan untuk mengesan atau menjejaki seseorang yang dijangkiti varian itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata ini kerana kit tindak balas Polymerase Chain Reaction (PCR) yang sedia ada menggunakan pelbagai sasaran untuk mengesan varian walaupun seseorang itu tidak bergejala.
“Pada masa ini, tidak ada data yang menunjukkan bahawa varian ini lebih virulensia atau menyebabkan peningkatan kematian,” katanya mengulas pertanyaan media semalam, berhubung Varian Nigeria B1.525.
Berdasarkan laporan kajian makmal, Dr Noor Hisham berkata mutasi E484K yang juga dilihat pada varian lain, termasuk Afrika Selatan (B.1.351) dan Brazil (P.1), telah dikaitkan dengan beberapa tahap ketahanan untuk meneutralkan antibodi yang diperlukan bagi memberi perlindungan.
Ketahanan itu bermakna ada kemungkinan penurunan dalam keberkesanan imuniti semula jadi atau imuniti yang berasal daripada vaksin terhadap mutasi ini, tambahnya.
“Mutasi D614G menyebabkan peningkatan penularan kerana keadaan yang menggalakkan untuk virus menjangkiti sel yang dibenarkan dan menduplikasi.
“Mutasi lain yang disebut Q677H juga berkaitan dengan kemungkinan peningkatan penularan disebabkan penggabungan virus yang efisien terhadap reseptor sel manusia,” katanya.
Merujuk kepada dua kes pertama varian Nigeria di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan pasangan suami isteri warganegara India, masing-masing berusia 36 dan 33 tahun yang datang ke Malaysia bersama anak lelaki berusia enam tahun.
Beliau berkata suami berkenaan bekerja dalam bidang kewangan profesional sejak dua tahun yang lepas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mereka datang ke negara ini kerana si suami mendapat tawaran pekerjaan.
“Lelaki itu pada awalnya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, tetapi dipindahkan ke pusat perubatan swasta sehari kemudian atas permintaannya. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 9 Feb lepas.
“Oleh kerana isterinya di awal kehamilan, wanita itu bersama anak mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Februari lepas,” katanya.
Dr Noor Hisham menjelaskan kedua-dua pelawat itu tiba di Malaysia pada 31 Januari dan Kementerian Kesihatan menjalankan ujian swab Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), disebabkan mereka tidak menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas.
Mereka kemudian dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan dan kekal tidak bergejala, namun makmal mengesahkan hasil ujian RT-PCR mereka positif Covid-19 pada 2 Feb.
Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudiannya melakukan penjujukan genom penuh kerana sejarah perjalanan mereka dan IMR menyelesaikan analisis penjujukan genom pada 4 Mac, yang menunjukkan kedua-dua kes itu mempunyai Varian Nigeria SARS-CoV-2 (B1.525).
Saintis menyediakan sampel semasa penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 di makmal bioteknologi BIOCAD di Saint Petersburg, Rusia pada 11 Jun 2020. Foto REUTERS
KUALA LUMPUR, 6 JAN: “Sekiranya virus Covid-19 bermutasi, insya-Allah, vaksin yang dicorakkan oleh saintis masih lagi berkesan,” demikian menurut seorang pakar bagi menjawab persoalan sama ada perlu mencipta vaksin baharu sekiranya virus itu bermutasi.
Pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damasara Dr Musa Mohd Nordin menjelaskan tubuh badan manusia itu sendiri bersifat ‘bijak’, kerana ia bukan sekadar mengeluarkan antibodi yang membunuh sesuatu kuman itu, tetapi juga mengeluarkan antibodi yang ada imun memori.
Katanya, walaupun tahap antibodi seseorang itu berkurangan, badan manusia akan mengeluarkan sel memori yang mana apabila diserang oleh virus, memori itu akan mengeluarkan antibodi yang baharu.
“Tetapi ingat, walaupun berkurangan (antibodi), hanya terdapat kira-kira 30 kes jangkitan semula setakat ini. Bayangkan daripada 80 juta kes Covid-19, tetapi yang kena Covid-19 buat kali kedua hanya 30 kes,” katanya dalam rancangan Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Covid-19: Suci dan Selamatkah?’ malam tadi.
Turut hadir dalam rancangan itu adalah rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Skrin memaparkan maklumat berkenaan Vaksin Covid-19 ketika sidang media perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Kementerian Kesihatan pada 27 November 2020. Foto BERNAMA
Mengenai kaedah keselamatan vaksin, Dr Musa berkata pakar kajian meletakkan dua bulan sebagai mencukupi untuk mengenal pasti lebih daripada 90 peratus kesan sampingan yang utama.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 90 peratus kesan sampingan yang dikenal pasti adalah yang kecil seperti sakit, berwarna kemerahan dan bengkak di kawasan suntikan, yang selalunya sembuh dalam masa dua hari.
Bagi kesan sistemik seperti pening kepala, lemah, kepenatan dan demam pula adalah kira-kira 50 peratus terutama bagi mereka yang berumur kurang daripada 55 tahun serta yang menerima suntikan dos kedua.
“Ini merupakan kesan sampingan yang kecil selepas imunisasi, tiada amaran yang bahaya lagi. Saya harap rakyat Malaysia berfikiran terbuka dan jangan dipengaruhi oleh media sosial yang tidak berasaskan kepada dalil, hujah dan fakta. Kita mesti lakukan semak fakta,” tegasnya.
Sementara itu, Dzulkifli turut menyentuh mengenai isu diskriminasi dalam ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan dalam soal kesihatan terutamanya bagi vaksin Covid-19.
Beliau berkata sebagai contoh, walaupun daripada segi ketersediaan perubatan itu ada, namun masyarakat di luar bandar mungkin tidak mendapat akses bekalan itu.
“Jadi ini soal yang perlu kita titik beratkan kerana kita dapati perbezaan atau diskriminasi dalam masyarakat kita masih berleluasa khususnya dalam soal kesihatan, adakah maklumat akan sampai ke persisiran atau hulu?
“Kalau kita lihat percaturan di dunia, kalau negara yang kaya akan dapat ini dulu, seolah-olah orang lain tidak penting dalam konteks ini. Ini adalah antara percaturan yang perlu kita fikirkan apabila kita hendak memberi vaksin kepada seluruh rakyat,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 25 DIS: A701V, virus Covid-19 bermutasi yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng LD di Sabah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata mutasi itu pertama kali dikesan dalam kalangan 22 jujukan SARS-CoV-2 dan antara kluster gelombang ketiga yang telah dijujukkan ialah Teratai, generasi ketiga Benteng LD, Tapak Bina Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya.
“A701V itu kini menular bersama-sama jenis perebak utama D614G berikutan peningkatan luar biasa kes semasa gelombang ketiga.
“Memandangkan kebanyakan kluster mempunyai jenis ini, kehadiran A701V mungkin memberikan kelebihan tambahan kepada virus itu dalam menjadi strain dominan, mungkin menjadikannya lebih mudah menjangkiti,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.
Dr Noor Hisham berkata prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.
Beliau berkata di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan kehadiran jenis A701V pada waktu hampir sama dengan Malaysia.
“Dalam GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom virus influenza), prevalens strain ini didapati sekitar 0.18 peratus dan peranan strain ini masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan analisis terhadap lebih 120 jujukan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal yang merangkumi gelombang pertama hingga ketiga kes Covid-19 di Malaysia.
Mengenai varian baharu dari United Kingdom dengan nama saintifiknya VUI 202012/01, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini virus itu tidak dijumpai di Malaysia.
Bagaimanapun katanya IMR akan terus menjalankan penjujukan genom untuk memantau kehadiran varian itu serta varian lain dan KKM akan terus berwaspada dengan mengambil pelbagai langkah untuk mencegah penularan varian baharu ke Malaysia.
Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.
SHAH ALAM, 19 OGOS: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) bimbang terhadap penemuan mutasi jenis D614G yang mudah dijangkiti dalam kluster Covid-19.
Berikutan itu, pasukan tersebut mengingatkan masyarakat supaya tidak selesa dengan perkembangan wabak di negeri ini kerana virus berkenaan masih ada.
“STFC tidak pernah memandang mudah perkara sebegini sejak dahulu lagi, sebab itu orang awam diingatkan patuh dan berdisiplin dalam norma baharu kehidupan seharian,” tulisnya di Facebook hari ini.
Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan makmal Institut Penyelidikan Perubatan mengesan mutasi D614G dalam kluster PUI Sivagangga dan Ulu Tiram.
Beliau berkata mutasi itu 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan merebak sekiranya disebar oleh perebak utama.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) mengadakan sidang media berkaitan perkembangan penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 13 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan mutasi jenis D614G hasil ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia.
“Ia didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader.
“Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas. Ujian awal ini dan beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, Ahad.
Mengulas lanjut, katanya mutasi D614G ini ditemui saintis pada Julai 2020 dan berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi ini.
Oleh itu, Dr Noor Hisham menyeru agar semua kekal mengaplikasikan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, pengamalan kebersihan kendiri dan memakai pelitup muka.
“Situasi terkini Covid-19 didapati masih terkawal dan Kementerian Kesihatan serta agensi lain masih berusaha membendung penularan Covid-19.
“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan Covid-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun,” jelasnya.