Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lagi 30 unit kendera saji ditawar bantu peniaga jana pendapatan

SHAH ALAM, 6 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor (KoHijrah) menawarkan tambahan 30 unit kendera saji secara pinjaman kepada usahawan kecil menjelang akhir tahun ini.

Tidak hanya terhad kepada jualan makanan, peniaga bebas mengubah jenis perniagaan pada bila-bila masa menggunakan trak model Inokom dan Daihatsu, kata pengurus besarnya.

“Jangan pandang kendera saji ini hanya boleh berniaga makanan, tetapi mereka juga boleh masuk ke bidang peruncitan dan jualan pakaian terpakai,” kata Mohd Syukri Ismail.

“Kalau tengok di kilang antara tujuh hingga lapan unit dalam proses pengeluaran. Insya-Allah, keluar bulan depan sekali gus mencapai 30 unit hujung tahun ini.”

Beliau berkata demikian pada program bual bicara “Jatuh Bangun Perniagaan Food Truck Selangor” yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Mohd Syukri berkata lebih 100 unit trak ditawar kepada peniaga kecil di Selangor setakat ini dengan Daihatsu model paling digemari wanita manakala Inokom bagi lelaki.

“Trak ini nyawa kepada perniagaan mereka. Jika tidak dikendalikan dengan baik, mungkin sukar untuk sampai ke destinasi dan memulakan perniagaan,” katanya.

Warga Selangor boleh membuat pinjaman KoHijrah untuk membeli kendera saji berharga RM26,500 atau RM50,000 dengan mengemukakan penyata bank tiga bulan dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia.