Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM1 juta bantu murid, mahasiswa dapat peranti digital

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas) bagi pelajar tiada peranti elektronik untuk pembelajaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dengan peruntukan RM1 juta itu merupakan kerjasama antara SmartSel dan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Keperluan terhadap komputer riba dan tablet semakin tinggi disebabkan oleh kaedah pembelajaran yang berubah sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Melihat kepada keperluan itu, SmartSel dan PPAS bekerjasama untuk mendapatkan peranti digital terpakai yang sesuai daripada pihak swasta dan kerajaan untuk dipinjamkan kepada mereka yang memerlukan terutamanya murid sekolah dan mahasiswa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri meneruskan Program Tuisyen Rakyat (PTRS) dengan memantapkan kandungan portalnya serta mengukuhkan kemahiran guru menerusi peruntukan RM7 juta.

“Konsep program secara hibrid akan diteruskan selari dengan situasi pandemik di mana penutupan dan pembukaan sekolah tidak menentu.

“Sekiranya program ini boleh dilaksanakan secara bersemuka, pek bantuan makanan tengah hari akan diberikan kepada pelajar yang terlibat. Anggaran perbelanjaan untuk tahun 2022 adalah sebanyak RM7 juta,” katanya.