Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perkenal Liga Akar Umbi semarak sukan belia

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM1 juta disediakan untuk Liga Akar Umbi yang bakal merancakkan pembangunan sukan dalam kalangan belia Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri cakna dengan perkembangan liga amatur di semua daerah seluruh Selangor.

“Bagi menyemarakkan lagi aktiviti kesukanan khususnya dalam kalangan belia serta selaras dengan hasrat untuk membangunkan sukan di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan Liga Akar Umbi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan bagi menyokong usaha berkenaan, Kerajaan Negeri menambah peruntukan Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan kepada RM4 juta untuk tahun hadapan.

Beliau berkata peruntukan ini bertujuan membina dan membaik pulih kemudahan sukan yang rosak di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan had anggaran kos sehingga RM100,000.