Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan dua pasangan suami isteri, bongkar makmal proses dadah

GEORGE TOWN, 20 NOV: Polis menahan dua pasangan suami isteri dipercayai terlibat dalam sindiket dadah dan membongkar makmal memproses barang terlarang itu di sebuah inap desa menerusi serbuan di Pulau Pinang serta Kedah, Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai dadah bernilai RM126,840 selain mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai kepakaran menghasilkan dadah.

“Bertindak hasil risikan dan maklumat awam, polis menahan sepasang suami isteri berusia 50 dan 40 tahun di sebuah rumah di Bukit Mertajam pada 12 tengah hari, Selasa lepas.

“Penahanan mereka membawa penemuan lima ketul ganja bernilai RM12,550 di dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah rumah di Air Itam, di sini dan 14 gram heroin bernilai RM3,990 hasil pemeriksaan di rumah keluarga wanita berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mustafa Kamal Gani berkata siasatan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah manakala isterinya mempunyai satu rekod berkaitan dadah dengan kedua-duanya dipercayai mengedar dadah di sekitar Bukit Mertajam dan daerah Timur Laut sejak Jun lepas.

Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis menahan sepasang lagi suami isteri berusia 54 dan 30 tahun yang menaiki sebuah kereta di Permatang Nibong, Bukit Mertajam, pada 8 pagi keesokannya serta merampas 13 bungkus heroin seberat 5,245.9 gram dianggarkan bernilai RM70,300.

Katanya siasatan mendapati lelaki itu pakar memproses dadah dan polis kemudian menyerbu sebuah inap desa di Kulim, Kedah yang disewa pasangan suami isteri itu pada kadar RM1,300 sebulan sekali gus membongkar makmal memproses dadah di premis itu.

“Polis merampas satu ketulan mampat heroin base seberat 375 gram, 60 gram heroin, 12 kilogram serbuk kafein, sebotol cecair klorofom serta pelbagai peralatan memproses dadah di inap desa itu,” katanya sambil menambah pasangan tersebut menyewa inap desa itu sejak tiga minggu lepas dan polis telah merekodkan keterangan pemilik premis itu untuk siasatan lanjut.

Menurut Mustafa Kamal Gani, pasangan tersebut dipercayai sering berpindah-randah dengan menyewa inap desa sekitar negeri ini dan Kedah untuk memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati lelaki itu bertindak sebagai tukang ‘masak’ dadah yang dipercayai dipelajarinya sejak puluhan tahun lepas melalui rakan-rakannya, malah dia sedang melatih beberapa rakannya cara menghasilkan dadah.

“Polis sedang mengesan ‘anak murid’ lelaki itu dan siasatan mendapati lelaki itu mendapat bekalan dadah daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah di Sungai Petani, Kedah dan memprosesnya sebelum diserahkan kepada pasangan suami isteri pertama untuk diedarkan,” katanya.

Mustafa Kamal Gani berkata lelaki itu dipercayai terlibat dengan penagihan, pemprosesan serta penagihan dadah sejak 1995 dan dia bersama isterinya mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Katanya kedua-dua pasangan suami isteri tersebut saling mengenali dan aktif memproses serta mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak pertengahan tahun ini.

“Selain penahanan mereka, polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Civic bernilai RM45,000 dan semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan 64,139 penagih,” katanya.

Beliau berkata tiga daripada mereka positif dadah dan kesemuanya sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA