Categories
AGENDA NASIONAL

Unisel terima 522 pelajar baharu, lanjut tarikh pengambilan hingga 17 Disember

SHAH ALAM, 21 NOV: Universiti Selangor (Unisel) menerima seramai 522 pelajar baharu bagi sesi November 2021 semalam dengan pengambilan dijangka bertambah selepas pendaftaran dilanjut sehingga Disember.

Pengarah pejabat pemasaran dan kemasukannya Prof Madya Dr Hashimah Ismail berkata jumlah itu  merangkumi pelajar bagi peringkat pengajian asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.

“Jumlah ini dijangka meningkat berikutan tarikh pendaftaran pelajar baharu bagi pengambilan November 2021 akan dilanjutkan sehingga 17 Disember depan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pengarah komunikasi korporat Unisel Hasril Abu Hassan memaklumkan Minggu Tekad Siswa (MTS) Budiman bagi pelajar baharu kemasukan November 2021 yang bermula pada 17 November berakhir semalam.

Beliau berkata hari terakhir MTS tersebut disusuli dengan Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Canselor, Unisel kampus Bestari Jaya.

“MTS Budiman yang berlangsung selama empat hari itu merupakan minggu suai kenal antara pelajar-pelajar baharu dan dikelolai sepenuhnya oleh Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti,” katanya di Facebook.

Mereka yang berminat menyambung pengajian di Unisel boleh mendaftar di apply.unisel.edu.my. Layari www.unisel.edu.my atau berhubung dengan Pejabat Pemasaran dan Kemasukan di talian 03-55223400 /014-8172198 untuk maklumat lanjut.