Categories
AGENDA NASIONAL

Video tular tidak benar, SKE bukan projek dilaksana di Selangor

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Selangor menegaskan pembinaan projek lebuh raya Sungai Klang Ekspressway (SKE) yang tular menerusi video di media sosial adalah tidak benar.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata beliau sendiri meneliti video berdurasi lebih 10 minit itu dan jelas projek tersebut tiada dalam senarai projek yang akan dilaksana di Selangor.

“Sebaliknya kita dapati terdapat satu projek yang mirip sama melibatkan Jajaran Sungai Klang bermula dari Klang hingga Kuala Lumpur yang telah mendapat kelulusan dasar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Projek dimaksudkan ialah cadangan pembinaan lebuh raya Sungai Klang Link atau SKL yang mendapat kelulusan dasar pada 27 Januari lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya susulan penyebaran video berkenaan kerana mengandungi maklumat tidak benar.

“Saya akan merujuk Kamar Penasihat Undang-undang Selangor sama ada kita perlu ambil tindakan lebih lanjut atau tidak… ada logo pihak berkuasa tempatan (PBT) digunakan dalam video itu.

“Ini adalah salah guna logo tanpa kebenaran kerana kita bimbang orang di luar sana beranggapan projek ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, hakikatnya ia tiada dalam senarai,” katanya.

Katanya, SKL telah menghubungi beliau berhubung penyebaran video projek SKE yang mirip sama dengan projek mereka dan pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang.

Izham menjelaskan segala pelaksanaan projek lebuh raya adalah tertakluk pada kelulusan kerajaan pusat dan pihaknya hanya memudah cara pelaksanaan.

“Setakat ini kerajaan pusat belum memberikan apa-apa komen dan kelulusan penuh mengenai projek SKL ini serta beberapa projek lebuh raya lagi di Selangor.

“Semua enam projek ini masih ada di peringkat cadangan dan ada yang telah diberi kelulusan dasar seperti SKL,” katanya.