Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas selesai agih bantuan RM500 kepada 1,200 OKU

SHAH ALAM, 11 NOV: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) selesai menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM600,000 kepada 1,200 orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rahid Haron memaklumkan bantuan RM500 setiap seorang melalui Pakej Kita Selangor 2.0 disalur secara berperingkat sejak 5 Julai.

Menurutnya, sebahagian bayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima dan selebihnya secara tunai selepas dokumen lengkap dihantar pemohon.

“Kita menerima hampir 7,000 permohonan mendapatkan bantuan ini. Memandangkan peruntukan terhad, keutamaan diberikan kepada mereka yang menghantar borang awal selain memenuhi kriteria ditetapkan.

“Diharap bantuan sebegini membantu golongan berkenaan yang terkesan akibat Covid-19 kerana kita lihat kebanyakan mereka terpaksa bekerja sendiri seperti menjual tisu dan menjalankan khidmat urutan untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.