Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

6,000 dos penggalak Selvax diberi dalam tempoh tiga hari

SHAH ALAM, 10 DIS: Dianggar 6,000 dos penggalak diberi kepada orang ramai menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster setakat ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu berdasarkan data hari ketiga pelaksanaan program percuma anjuran Kerajaan Negeri yang bermula sejak kelmarin.

“Setiap klinik menyediakan 150 dos sehari dengan dua doktor ditugaskan untuk memberikan suntikan.

“Kita mempunyai 13 klinik yang menawarkan Selvax Booster ini dengan anggaran 6,000 dos diberikan pada hari ketiga ini,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan pemberian dos penggalak tersebut di Klinik Selcare di Seksyen 13 di sini.

Pada 7 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

“Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinic/atau melalui aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” katanya.