SHAH ALAM, 20 DIS: Bekas atlet Sukan SEA acara mendayung menggunakan kemahirannya untuk mengagih bantuan kepada mangsa banjir sekitar sini dan Banting.
Muhammad Rabani Hashim, 27, yang baru selesai menyertai pertandingan duathlon di Johor dua hari lalu meminjam sampan milik rakannya yang menetap di sini.
“Saya singgah sini untuk bantu apa yang terdaya. Kebetulan ada kawan di sini yang boleh pinjamkan sampan untuk saya bawa bantuan ke tempat mangsa banjir,” katanya kepada SelangorKini
Beliau mengagihkan barangan yang dikumpul sukarelawan terdiri daripada penduduk Bukit Jelutong di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Jelutong di sini.
Penduduk Aliah Qistina Roslan, 23, yang juga pelajar Management & Science University di sini membuka pusat sumbangan itu secara sukarela bersama jiran dan beberapa rakan.
“Paling diperlukan ubat demam dan selsema, kit ujian kendiri Covid-19, pelitup muka, air minuman, makanan atau susu bayi serta tikar,” katanya.
Ahli perniagaan Sharon Ting, 42, turut menyumbang barangan kebersihan diri antaranya ubat gigi, sabun mandi dan kit ujian kendiri.
“Sangat sedih tengok video mangsa di media sosial sebab itu saya rasa ini tanggungjawab kita semua untuk bantu apa yang mampu.
“Sebelum ini saya juga beri sumbangan di Subang tetapi bila tahu di sini juga ada tempat sumbangan, saya hantar datang sini,” katanya.