Categories
AGENDA NASIONAL

Janji temu dos penggalak melalui SMS, MySejahtera – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Janji temu bagi penerima dos penggalak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi MySejahtera bagi mempercepatkan pemberian vaksin itu, kata ketua pengarah kesihatan.

Sehubungan itu, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat agar sentiasa ambil tahu tentang pemakluman di telefon bimbit masing-masing agar tidak terlepas tarikh janji temu dan menyatakan sama ada bersetuju menerima dos penggalak atau tidak.

“Sekiranya terlepas tarikh janji temu yang diberikan, orang ramai disarankan agar hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah diberikan sejak ia diluluskan pada November lepas.

Katanya, pemberian dos penggalak itu dimulakan dengan individu berusia 40 tahun dan ke atas, individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi, penghuni dan petugas Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung serta individu ada keperluan ke luar negara.

Mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes baharu hari ini kembali menurun ke paras bawah 4,000 iaitu 3,900 kes berbanding 4,097 kes semalam.

Beliau berkata sebanyak 4,552 kes sembuh pula direkodkan.

“Daripada 3,900 kes baharu hari ini, 86 kes atau 2.2 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima manakala 3,814 kes atau 97.8 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dimuat naik ke laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada pukul 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA