Categories
AGENDA NASIONAL

Kehadiran bersemuka pelajar sekolah menengah jika kadar vaksin capai 90 peratus

PUTRAJAYA, 31 DIS: Pengoperasian sekolah menengah bagi penggal 3, 2021/2022 melibatkan murid kelas peralihan, Tingkatan 4 hingga 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap mencapai 90 peratus atau lebih.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM bagi Penggal 3, 2021/2022 berkata pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih, adalah kekal secara penggiliran.

“Senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan pada setiap Rabu.

“Mana-mana institusi yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan boleh mula beroperasi pada Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran,” katanya.

Bagi murid Tingkatan 1 hingga 3 pula, kehadiran mereka adalah secara penggiliran, manakala murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran, katanya.

Pada 24 Dis lepas, KPM mengumumkan tarikh persekolahan penggal 3 bermula 9 Jan bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan 10 Jan bagi kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurut KPM, bagi pengoperasian sekolah berasrama sepenuhnya melibatkan murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, kehadiran adalah secara bersemuka tanpa penggiliran.

Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), katanya.

Bagi pengoperasian sekolah rendah melibatkan MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), mereka perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran,” katanya.

KPM berkata sekolah harian dan sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Namun, bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya. KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan,” katanya.

Pengoperasian kolej vokasional bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Jan 2022.

“Bagi pengoperasian Kolej Matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Jani 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester,” katanya.

Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, KPM berkata semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Feb 2022 mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.

“Murid KM dan IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0,” katanya.

KPM berkata murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

Sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin, namun ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.

KPM dalam pada itu berkata kesediaan institusi pendidikan yang terlibat dengan banjir atau pusat pemindahan sementara (PPS) untuk beroperasi akan dimaklumkan pada 3 Jan depan.

– BERNAMA