Categories
AGENDA NASIONAL

Kehadiran bersemuka pelajar sekolah menengah jika kadar vaksin capai 90 peratus

PUTRAJAYA, 31 DIS: Pengoperasian sekolah menengah bagi penggal 3, 2021/2022 melibatkan murid kelas peralihan, Tingkatan 4 hingga 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap mencapai 90 peratus atau lebih.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM bagi Penggal 3, 2021/2022 berkata pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih, adalah kekal secara penggiliran.

“Senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan pada setiap Rabu.

“Mana-mana institusi yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan boleh mula beroperasi pada Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran,” katanya.

Bagi murid Tingkatan 1 hingga 3 pula, kehadiran mereka adalah secara penggiliran, manakala murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran, katanya.

Pada 24 Dis lepas, KPM mengumumkan tarikh persekolahan penggal 3 bermula 9 Jan bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan 10 Jan bagi kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurut KPM, bagi pengoperasian sekolah berasrama sepenuhnya melibatkan murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, kehadiran adalah secara bersemuka tanpa penggiliran.

Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), katanya.

Bagi pengoperasian sekolah rendah melibatkan MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), mereka perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran,” katanya.

KPM berkata sekolah harian dan sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Namun, bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya. KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan,” katanya.

Pengoperasian kolej vokasional bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Jan 2022.

“Bagi pengoperasian Kolej Matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Jani 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester,” katanya.

Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, KPM berkata semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Feb 2022 mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.

“Murid KM dan IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0,” katanya.

KPM berkata murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

Sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin, namun ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.

KPM dalam pada itu berkata kesediaan institusi pendidikan yang terlibat dengan banjir atau pusat pemindahan sementara (PPS) untuk beroperasi akan dimaklumkan pada 3 Jan depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM pastikan pemeriksaan haid secara fizikal tidak berulang

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan berhubung terdapat amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya komited dalam memastikan amalan itu tidak berulang, sekiranya ia benar wujud di mana-mana institusi KPM.

“Sejurus tiba dari Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya terus ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

“Kedatangan saya adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Radzi berkata kedatangan beliau yang disertai Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, juga bertujuan mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah.

“Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan sebentar tadi (malam tadi). KPM sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna menerusi ciapan di Twitter mendakwa seorang pelajar memberitahunya bahawa dia bersama kira-kira 30 pelajar lain berusia antara 18 dan 19 tahun telah dikumpulkan di sebuah kolej kira-kira pukul 7.50 malam pada 18 Okt lalu bagi menjalani pemeriksaan untuk membuktikan mereka sedang dalam haid.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaedah penggiliran ke sekolah tidak tambah beban tugas guru

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pelaksanaan kaedah penggiliran ke sekolah dengan memecahkan kelas kepada dua kumpulan pada pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Okt depan, tidak akan menambah beban tugas pengajaran guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata ini adalah kerana guru hanya perlu mengajar secara bersemuka mengenai silibus yang sama, untuk dua kumpulan murid yang berbeza.

“Kaedah pelaksanaan sistem penggiliran ini ialah satu kelas kita pecahkan kepada dua kumpulan, minggu pertama kumpulan A yang datang ke sekolah akan belajar secara bersemuka dengan guru, dan minggu seterusnya kumpulan ini akan belajar di rumah dan perkara yang mereka perlu buat adalah melakukan tugasan seperti aktiviti, buku teks termasuk pembelajaran melalui Youtube yang diberikan guru.

“Sistem ini tidak akan tambah beban tugas guru, sebab guru memang sudah buat persediaan dan rancangan mengajar, mereka hanya kongsikan perkara ini dengan murid untuk buat persediaan di rumah dan bila murid datang semula ke sekolah, guru akan tengok topik mana yang anak murid mereka tidak faham, guru akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Inklusif: Pengoperasian Sekolah Secara Selamat dan Kondusif yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Jelasnya, kumpulan B akan hadir ke sekolah pada minggu berikutnya untuk mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.

Dalam pada itu, Radzi berkata dalam memastikan aspirasi kerangka yang dikeluarkan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik, jaringan komunikasi bukan sahaja di peringkat kementerian bahkan di peringkat bawah digunakan sebaiknya.

“Ibu bapa sendiri turut memohon supaya diadakan libat urus sekolah dengan ibu bapa, supaya masing-masing faham apa yang kementerian lakukan.

“Semalam, kami juga ada berjumpa Pengarah Pendidikan dan katakan arahan kami bahawa anak-anak kalau tidak datang sekolah, ada surat tidak akan dikenakan tindakan disiplin, kami sudah pesan janganlah pula nanti keluar surat amaran bila murid tiga hari tidak hadir ke sekolah, diberikan surat amaran,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi sekolah: PdPR kekal di negeri dalam fasa dua PPN

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid kelas peperiksaan di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuti pertengahan penggal ini akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B.

Menurutnya pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula.

“Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

“Bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Radzi pada sidang media Jun lepas berkata PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing sehingga cuti pertengahan penggal.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.

Keputusan itu diambil berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sekolah dibuka mulai 1 Mac secara berperingkat

SHAH ALAM, 19 FEB: Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan dua.

Menteri kanan (pendidikan) berkata pelajar tahun tiga hingga enam pula akan mula hadir ke sekolah pada 8 Mac.

“Pelajar prasekolah, tahun satu dan dua lebih awal hadir bagi membiasakan mereka dengan SOP (tatacara operasi piawai) memandangkan tahun lalu kehadiran agak terhad.

“Jadi kementerian memutuskan mereka lebih awal selain memberi ruang kepada guru untuk bersedia dengan SOP serta mencari kaedah terbaik,” kata Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media hari ini.

Menurutnya pelajar sekolah menengah di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan hadir ke sekolah mulai 4 April manakala negeri lain pada esoknya.

Katanya, pelajar Sijil Vokasional Malaysia Tahun Satu dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu ditetapkan ke sekolah mulai 1 Mac.

“Pelajar tingkatan satu hingga lima akan ke sekolah selepas cuti pertengahan penggal yang bermula hujung Mac selain selepas peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia selesai.

“Jadual pembukaan sekolah swasta juga sama mengikut kategori. Semua terpakai untuk sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM terus perkasa TV Pendidikan, guna pendekatan sesuai

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha untuk terus memperkasa TV Pendidikan yang kini bersiaran selama sembilan jam sehari di beberapa stesen televisyen dengan pendekatan bersesuaian.

Menghargai pandangan dan saranan pelbagai pihak berkaitan TV Pendidikan, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata KPM mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April 2020 sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun sama.

“KPM telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7. Kami sedar jumlah masa siaran ini masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa,” katanya dalam Twitter rasmi beliau hari ini.

Menurut kicauan itu, TV Pendidikan yang mula bersiaran di televisyen konvensional pada 1972 telah dipindahkan kepada kaedah secara dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan tidak lagi disiarkan di saluran televisyen konvensional bermula 1 Jan 2009.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM atur sesi lain bagi calon peperiksaan positif Covid-19, dikuarantin

PUTRAJAYA, 22 JAN: Peperiksaan utama yang dijadual bermula pada Februari ini tidak akan ditangguhkan, namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengaturkan sesi lain bagi calon yang tidak dapat hadir kerana disahkan positif Covid-19 atau menjalani kuarantin wajib.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan selepas disahkan bebas daripada wabak itu atau tamat tempoh kuarantin.

“Tempoh kuarantin adalah 14 hari dan tempoh peperiksaan biasanya lebih panjang maka bila mereka sihat mereka boleh mengikuti kertas-kertas lain yang masih berlangsung dan kementerian akan aturkan sesi yang lain bagi mereka untuk kertas yang tertinggal,” katanya pada sidang media secara maya, di sini hari ini.

Habibah berkata KPM akan memberikan set soalan berlainan bagi kertas peperiksaan yang tidak dapat diduduki oleh calon berkenaan untuk mengelakkan berlaku isu soalan bocor.

“Tetapi kita perlulah memastikan standard (soalan) adalah sama. Itu yang paling penting walaupun mungkin kertas berlainan, takkan sama, tetapi standard adalah sama,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan supaya gred pemarkahan peperiksaan diturunkan memandangkan terdapat calon yang ketinggalan dalam pembelajaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya standard sedia ada perlu dikekalkan bagi mengelakkan sijil yang diperoleh oleh calon hilang pengiktirafan Cambridge.

“SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) telah diiktiraf oleh Cambridge setara dengan O-level. Jika kita buat sebarang perubahan maka kita hilang pengiktirafan itu jadi kita tak mahu calon kelas 2020 tidak memperoleh pengiktirafan bagi sijil mereka dan mungkin peluang mereka meneruskan pelajaran dan memasuki bidang kerjaya akan terjejas.

“Begitu juga peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf setara dgn A-level dan buat masa ini kita tak boleh buat perubahan kepada peperiksaan itu,” katanya.

Habibah berkata KPM telah merancang pendekatan berbeza dalam proses menanda kertas peperiksaan dan mengeluarkan keputusan memandangkan tempoh yang ditetapkan adalah lebih pendek berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Oleh itu, kita masih boleh keluarkan keputusan untuk calon boleh memohon UPU dalam talian atau lain-lain permohonan atau untuk bekerja,” katanya.

Peperiksaan utama iaitu SPM, STPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun lepas dijadualkan bermula Februari ini.

Habibah berkata walaupun terdapat gesaan supaya peperiksaan berkenaan ditangguhkan susulan kebimbangan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru, takwim yang telah dirancang tahun ini tetap dikekalkan dengan tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan lebih ketat.

“Kalau lihat laporan, kes penularan berada dalam komuniti, tiada kluster sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan yang timbul sebab hadir ke sekolah.

“Ini adalah kerana kementerian ada garis panduan dan SOP yang perlu dipatuhi sekolah, begitu juga SOP untuk peperiksaan yang perlu dipatuhi sebelum, semasa dan selepas peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata SOP dan garis panduan yang sama juga telah digunakan semasa peperiksaan SPM Ulangan 2019 pada tahun lepas dan tiada calon yang positif Covid-19 akibat menduduki peperiksaan itu.

Ditanya jika terdapat kes jangkitan di sekolah, Habibah berkata keputusan KPM adalah bergantung kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

11,000 pelajar antarabangsa mohon kembali ke Malaysia

PUTRAJAYA, 8 JULAI: Seramai 11,000 pelajar antarabangsa dari Pakistan, Indonesia dan Thailand memohon untuk kembali meneruskan pengajian di Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata mereka merupakan pelajar antarabangsa yang telah pulang ke negara masing-masing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebenarnya kita juga ada menerima permohonan pelajar baharu untuk Januari dan Februari (2021) yang berjumlah lebih 9,000 orang, tetapi buat masa ini kita fokus kepada 11,000 pelajar daripada tiga negara teratas ini dahulu untuk masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai kemasukan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menjelas lanjut beliau berkata semua pelajar antarabangsa itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Sekiranya tak ada masalah dia hanya perlu melalui kaunter pemeriksaan imigresen dan dibenarkan masuk tetapi perlu dikuarantin selama 14 hari.

“Sekiranya diragui sijil (kesihatan) mengenai pengesahan pemeriksaan (Covid-19), pelajar berkenaan akan diminta untuk buat saringan semula dan ini juga terpakai kepada pelajar dari negara berisiko tinggi termasuk Indonesia,” kata Noraini.

Kos saringan semula di Malaysia akan ditanggung sendiri oleh pelajar antarabangsa berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah agama, madrasah tahfiz boleh beroperasi mulai 15 Julai

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

“Semuanya (juga perlu) tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikemukakan oleh KPM supaya kita akan dapat menamatkan rangkaian Covid-19.

“(Pembukaan ini juga) Termasuk madrasah yang jika berdaftar bawah KPM boleh terus dapat beroperasi tetapi jika tidak berdaftar mereka kena mohon dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Mohd Radzi berkata pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya akan memberikan latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP sesuai dengan normal baharu bagi meningkatkan kompentensi mereka.

“MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir, penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) dalam usaha menyelesaikan kes yang tertunggak,” katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa selama kira-kira dua jam lebih bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPM: SPM bermula 6 Januari tahun depan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat penjadualan semula buat kali kedua takwim peperiksaan di bawah kementerian itu dengan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini dipinda ke 6 Januari hingga 9 Februari tahun depan.

Peperiksaan itu sebelum ini dijadual bermula 16 November hingga 7 Disember ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang sepatutnya bermula 23 hingga 30 Jun ini bagi ujian bertulis dan ujian lisan dipinda ke tarikh baharu iaitu 17 Ogos hingga 30 September ini.

Sesi pertama peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 24 Mei ini bagi semester tiga dan semester satu akan dipinda kepada 3 hingga 14 Ogos ini dan 28 hingga 9 Oktober ini.

Tarikh peperiksaan bagi sesi kedua untuk semester keempat dan semester kedua SVM juga dipinda iaitu masing-masing dari 21 Oktober hingga 8 November dan 14 hingga 30 Oktober ini kepada 18 hingga 29 Januari 2021 dan 17 hingga 28 Mei 2021.

Sementara itu, peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu SVM dipinda dari 19 hingga 30 Oktober ini kepada 16 November hingga 6 Januari depan bagi ujian lisan, manakala ujian bertulis yang dijadual pada 16 November dipinda ke 6 Januari depan.

Begitu juga bagi mata pelajaran Sejarah untuk SVM, ia dipinda dari 25 November ini ke 7 Januari tahun depan. Menurut kenyataan itu, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula yang dijadual bermula 21 hingga 28 Oktober ini, kini dipinda kepada 17 hingga 25 Februari 2021.

Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kohort 2020, peperiksaan bagi semester dua yang dijadual pada 18 hingga 24 November akan diawalkan kepada 12 hingga 18 Ogos ini manakala bagi semester tiga pula, peperiksaan yang sepatutnya bermula pada 3 hingga 10 November ini dipinda kepada 1 hingga 9 Mac 2021.

Peperiksaan semester satu STPM 2021 bagi kohort 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 25 November hingga 1 Disember ini pula dipinda ke 22 hingga 25 Februari 2021.

Sementara itu, Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa yang dijadual pada 22 Jun ini pula dipinda ke 4 Februari tahun depan manakala Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) dari 5 Oktober kepada 18 November ini.

Menurut KPM, penjadualan semula itu dibuat bagi membolehkan pelajar mempunyai tempoh pembelajaran yang cukup dan dapat membuat persediaan rapi untuk menduduki peperiksaan.

“KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut termasuk memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2021 yang akan dimaklumkan kelak.

“Penyusunan semula permulaan sesi ini penting bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar,” menurut KPM.

Penjadualan semula peperiksaan dibuat kali pertama pada 28 Mac lepas sebelum Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 15 April mengumumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Persiapan cukup untuk pembukaan sekolah esok – Mohd Radzi

PUTRAJAYA, 23 JUN: Banyak pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa dilihat sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah esok serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata pejabat pendidikan daerah akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan mengenainya dipatuhi apabila sekolah dibuka.

Mohd Radzi sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Kepada ibu bapa, jika anak tidak sihat jangan hantar ke sekolah esok dan hari-hari berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelajar kembali ke asrama di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

Seratus lima puluh pelajar lelaki tingkatan lima mendaftar di asrama sekolah itu hari ini bagi memulakan kelas esok.

Dalam tinjauan itu, Mohd Radzi melihat susun atur katil dan lokar di asrama selain memeriksa SOP di dewan makan yang hanya tiga pelajar dibenarkan makan semeja.

Mohd Radzi berkata Kementerian Pendidikan akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Mohd Radzi berkata pematuhan SOP yang dilaksanakan ketika ini dapat membantu sekolah untuk bersedia menerima lebih ramai pelajar pada masa akan datang.

Beliau berkata pematuhan SOP akan memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar semula anak mereka mengikuti pembelajaran di sekolah dengan kebiasaan baharu.

“Hampir keseluruhan sekolah bersedia dan kita beri keutamaan penting melihat SOP ini sebagai langkah berikutnya pembukaan semula sekolah kepada pelajar lain agar mereka juga dapat kembali ke sekolah,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Sains Selangor di Cheras di sini.

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi melihat ruang penambahbaikan dengan pihak sekolah diberi nasihat untuk persediaan yang lebih baik.

Seratus tujuh pelajar tingkatan lima telah mendaftar di asrama sekolah itu hari ini bagi memulakan sesi persekolahan esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh ubah suai sekolah selagi patuh garis panduan

SHAH ALAM, 23 JUN: Pihak pengurusan sekolah diberi kelonggaran untuk pengubahsuaian tatacara pembukaan sekolah mengikut acuan masing-masing selagi ia mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya berkata pengubahsuaian terhadap garis panduan itu dibenarkan kerana setiap sekolah mempunyai persekitaran dan jumlah pelajar yang berbeza.

“Contohnya, pintu masuk dan pintu keluar berbeza… sebab itu kita bagi peluang kepada sekolah dalam masa tiga hari ini Rabu, Khamis, Jumaat. Andai kata ada yang perlu diubah.

“Sekolah diberi kelonggaran untuk mengubahsuai… bergantung kepada keperluan sekolah pada waktu itu tetapi tatacara operasi piawai (SOP) asas sebagaimana garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah itu perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 di sini, hari ini.

Pada 10 Jun lepas, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara akan dibuka esok namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini.

Dalam pada itu, Muslimin berkata pegawai kementerian itu juga akan ditempatkan di semua sekolah di seluruh negara bagi membuat pemantauan pematuhan garis panduan.

“Di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pegawai sudah diatur, mereka akan berada di setiap sekolah terbabit,” katanya.

Muslimin berkata, apa yang perlu ditekankan pengurusan sekolah adalah keselamatan dan keselesaan pelajar dan kementeriannya yakin pihak sekolah mampu untuk mengikuti segala yang telah digariskan.

“Kita melihat garis panduan ini sebagai teoritikal… esok kita akan tengok secara praktikal macam mana ia dilaksanakan,” katanya.

– BERNAMA