Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,800 tan sampah bah dikutip dalam sehari di seluruh negeri

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebanyak 2,857 tan sampah dan sisa tinggalan banjir berjaya dibersihkan serta diangkut oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter memaklumkan jumlah tong sampah besar dan jentera akan ditambah bagi melancarkan pembersihan.

“Hari ini sahaja sebanyak 2,857 tan sampah dan sisa tinggalan banjir berjaya dibersih dan diangkut. Kita akan tambah jumlah tong roll-on-roll-off (Roro) dan pengorek kaut bagi pembersihan,” katanya.

KDEBWM membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah negeri ini mulai Ahad secara berperingkat dan menjangka ia selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Selangor turut menerima bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri lain dan sukarelawan bagi mempercepat urusan pembersihan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.