Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI agih RM1.5 juta bantu mangsa bah di Selangor

SHAH ALAM, 24 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.5 juta bagi menyediakan keperluan asas dan makanan kepada 69 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporatnya dalam kenyataan menyebut sebanyak RM1.1 juta telah dibelanjakan bagi tujuan itu dengan agihan dibuat berperingkat sejak bencana melanda.

“MBI sentiasa mengambil berat dan maklum apa jua situasi yang berlaku di Selangor, khususnya apabila sesuatu bencana melanda dan memberi tekanan kepada warga yang terkesan,” katanya.

Kakitangan MBI membersihkan kediaman penduduk terjejas banjir sekitar Klang dan Shah Alam, baru-baru ini. Foto ihsan MBI

Pemerbadanan itu berkata pasukan sukarelawan turut ditubuhkan, yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Norita Mohd Sidek bersama 30 warga kerja bagi membantu mereka yang terjejas.

Jelasnya, pasukan itu turun ke beberapa lokasi sekitar Klang dan Shah Alam bagi mengemas, mencuci rumah serta menyediakan makanan kepada yang terkesan.

“MBI Selangor dengan kerjasama beberapa agensi juga mengambil bahagian dalam Program Dapur Ehsan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir,” katanya.

MBI giat membantu mangsa bah sejak 17 Disember dengan menyediakan 5,000 kit ujian air liur untuk diagihkan ke PPS termasuk keperluan lain seperti susu formula, makanan dan lampin pakai buang.