SUBANG, 28 DIS: Reaksi segera Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di media sosial membantu menyelesaikan masalah timbunan sampah banjir di Kampung Tengah dekat sini.
Isu terbabit dibangkitkan di Facebook salah seorang penduduk yang juga pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, iaitu Muhammad Rosli, 23.
“Saya dihubungi pegawai Dato’ Menteri Besar malam tadi yang meminta maklumat lanjut, hari ini kerja pembersihan dilakukan. Gembira lihat persekitaran kampung bersih.
“Bimbang juga ada penyakit sekiranya sampah dibiarkan begitu sahaja,” katanya ditemui hari ini.
Muhammad dan abangnya, Ahmad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.
Pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.
Mengimbau insiden banjir dua minggu lalu, Muhammad berkata rumahnya dinaiki air kira-kira jam 9 malam menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berteduh di loteng bengkel keluarganya.
“Ayah (Rosli Abdul Rahim) dukung saya dan abang ke atas, memang menakutkan kerana melalui arus deras selain angin kuat. Kira-kira Jam 4 pagi kami dibawa keluar menggunakan bot orang kampung,” katanya.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.