Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang komputer riba buat pasangan kembar Ahmad, Muhammad

SUBANG, 22 JAN: Pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli menerima dua unit komputer riba semalam sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Mereka juga diberikan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) secara percuma berserta data internet tanpa had selama 12 bulan, kata ketua tanggungjawab sosial korporat MBI.

“MBI berharap sumbangan ini digunakan sebaik mungkin sama ada meneruskan pengajian pada masa akan datang atau kerja rekaan untuk menampung kehidupan mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata peruntukan banjir berjumlah RM1.5 juta habis digunakan, namun pihaknya bersedia mempertimbang permohonan baharu bagi membantu mangsa yang memerlukan.

Kedua-dua komputer riba pasangan kembar berusia 24 tahun itu rosak selepas rumah mereka di Kampung Tengah Puchong antara yang terjejas teruk susulan banjir pada 18 Disember tahun lalu.

Ahmad dan adiknya Muhammad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Mereka menjalani pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi yang ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Muhammad yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer kini bekerja sebagai ketua projek teknologi maklumat di salah sebuah syarikat di Cyberjaya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sedih komputer riba hanyut dalam banjir, alat lukisan rosak

SUBANG, 29 DIS: Luluh hati Ahmad Rosli melihat komputer riba digunakan untuk menyiapkan projek akhir universiti rosak susulan banjir pada 18 Disember lalu.

Salah seorang pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, memaklumkan peralatan lukisannya bernilai lebih RM1,000 turut rosak.

Jelasnya, tugasan projek akhir itu dimulakan sejak sebulan lalu untuk melengkapkan pengajian Diploma Seni Grafik di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).

“Komputer riba itu diletak atas almari tetapi almari itu roboh dan jatuh dalam banjir, alat lukisan pun rosak.

“Sedih juga tetapi pensyarah beritahu jangan bimbang dan selesaikan dahulu rumah dilanda banjir,” katanya yang meminati lukisan potret.

Rumah mereka di Kampung Tengah Puchong antara yang terjejas teruk susulan banjir, dua minggu lalu.

Ahmad dan adiknya Muhammad, 23, adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Mereka menjalani pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi yang ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Muhammad yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer kini bekerja sebagai ketua projek teknologi maklumat di salah sebuah syarikat di Cyberjaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kembar puji MB segera atasi sampah banjir di Kampung Tengah

SUBANG, 28 DIS: Reaksi segera Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di media sosial membantu menyelesaikan masalah timbunan sampah banjir di Kampung Tengah dekat sini.

Isu terbabit dibangkitkan di Facebook salah seorang penduduk yang juga pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, iaitu Muhammad Rosli, 23.

“Saya dihubungi pegawai Dato’ Menteri Besar malam tadi yang meminta maklumat lanjut, hari ini kerja pembersihan dilakukan. Gembira lihat persekitaran kampung bersih.

“Bimbang juga ada penyakit sekiranya sampah dibiarkan begitu sahaja,” katanya ditemui hari ini.

Pekerja kontraktor KDEBWM membersihkan timbunan sampah sisa banjir di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pad 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Muhammad dan abangnya, Ahmad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Mengimbau insiden banjir dua minggu lalu, Muhammad berkata rumahnya dinaiki air kira-kira jam 9 malam menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berteduh di loteng bengkel keluarganya.

“Ayah (Rosli Abdul Rahim) dukung saya dan abang ke atas, memang menakutkan kerana melalui arus deras selain angin kuat. Kira-kira Jam 4 pagi kami dibawa keluar menggunakan bot orang kampung,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pasangan kembar penyeri Aqdun Mubarak 2019

GOMBAK, 31 OGOS: Program Aqdun Mubarak Zon 1 berlangsung di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini, diserikan dengan penyertaan pasangan kembar, Zulfadhli dan Zulhazmi Kasim, 38.

Mereka berdua adalah antara 35 pasangan pengantin yang menyertai majlis pernikahan perdana dengan hanya membayar RM1,000.

Lebih menggembirakan, Zulfadhli yang memilih Ermeeza Esa, 39, turut memenangi hadiah cabutan bertuah berbentuk pakej umrah tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Ditemui SelangorKini, Zulfadhli berkata, beliau bersama adik kembarnya memang merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama-sama.

“Syukur kepada Allah kerana memakbulkan impian saya dan adik yang memilih Siti Noor Syariza Yahya, 32, sebagai isteri.

“Rezeki saya menang pakej umrah dan Insya-Allah akan membawa isteri tercinta ke Tanah Suci bersama-sama nanti,” katanya.

Zulfadhli Kasim bersama pakej umrah dimenangi pada Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, program dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah inisiatif yang baik untuk memudahkan pasangan kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya menyambut baik program ini kerana dengan pembayaran RM1,000, pasangan boleh bernikah serta merangkumi majlis kenduri bersama keluarga.

“Ia detik manis buat kami, kebetulan jatuh pada tarikh sama bersempena sambutan kemerdekaan kali ke-62,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB ucap tahniah kepada pasangan kembar siam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 5 MAC: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah atas kejayaan pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baik, baru-baru ini.

Mohamed Azmin berharap kejayaan itu akan memberi semangat kepada pasangan terbabit untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (9)“Tahniah kepada mereka berdua. Saya doakan semoga mereka dapat meneruskan cita-cita,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Penutupan Rasmi Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Badar Baru Salak Tinggi, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han dalam isu sama pula berkata, beliau kagum dengan semangat dan ketabahan yang ada pada Ahmad dan Muhammad.

“Saya mula berkenalan dengan keluarga mereka sejak 2015 apabila mereka menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) anjuran Pejabat DUN Kinrara dan sejak itu saya kagum dengan ketabahan adik beradik kembar siam ini.

NG SZE HAN“Sebagai dorongan terhadap kesungguhan mereka dalam pelajaran, saya membuat keputusan memberikan sumbangan kewangan setiap bulan untuk kegunaan bahan pembelajaran mereka dan diharap mereka terus maju jaya dan dapat berbakti kepada negara satu hari nanti,” katanyanya.

Terdahulu, Ahmad dan Muhammad menyatakan hasrat melanjutkan pelajaran ke IPT selepas memperolehi keputusan SPM masing-masing kelmarin.

Bagaimanapun hasrat itu terpaksa ditangguhkan ekoran kaki palsu baru yang ditempah bagi memudahkan pergerakan mereka semasa belajar masih dalam proses untuk disiapkan.

-AA-