Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembaikan ban Sungai Klang dibuat segera elak limpahan berulang

PUCHONG, 24 DIS: Kerja pengukuhan ban Sungai Klang akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengelak limpahan besar air berulang pada masa hadapan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sumber daya kuasa pam berhampiran juga akan dialihkan bagi mengelak terdedah banjir dengan kos mencecah antara RM20 hingga RM30 juta.

“Asasnya sudah siap, cuma kena kukuhkan kerana kita tidak mahu kejadian limpahan air besar pada 18 Disember lalu berlaku semula. Kita akan cuba selesaikan dalam tempoh sebulan.

“Jadi, kita perlu pasang piling (cerucuk) dan pengukuh ban memandangkan benteng ini penampan utama pada air sungai melintasi ke kawasan kampung,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau aktiviti pembersihan pascabanjir di Kampung Bukit Lanchong menambah kerja berkaitan dijangka selesai antara lima hingga enam bulan.

Terdahulu, Amirudin meninjau ban Sungai Klang dan kunci air Jabatan Pengairan dan Saliran sebelum menyertai sukarelawan minum petang di Balai Majlis Perwakilan Penduduk Bukit Lanchong.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.