Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pesta Buku Selangor: Manfaatkan pembelian dalam talian, diskaun tinggi ditawar

SHAH ALAM, 3 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai salah satu daya tarikan sepanjang program 11 hari itu berlangsung sehingga 12 Disember.

Pengarah projek Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata menerusi platform Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Shopee, orang ramai berpeluang mendapat diskaun tinggi sekali gus menjimatkan kos pembelian.

“Shopee memang sudah sediakan diskaun khas dan tambah lagi diskaun sempena pesta ini berlangsung. Pengurangan harga mencecah hingga 70 peratus.

“Kaedah ini lebih jimat dan memudahkan pembeli. Mereka hanya perlu membuat tempahan, bayaran dan pesanan akan terus dihantar. Pilihan buku juga banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Pengarah projek Pesta Buku Selangor 2021 Mohamed Fadzli Mohd Fauzi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mohamed Fadzli berkata hampir separuh daripada 121 pempamer di pesta berkenaan susah mempunyai akaun Shopee sendiri.

Sementara itu, beliau berkata satu pasukan khas akan mempamerkan sepanduk bagi menasihati pengunjung agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Bila pengunjung nampak (sepanduk) secara automatik mereka akan peka tentang keperluan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial serta pemakaian topeng muka.

“Bagi mengawal kemasukan pengunjung ke ruang pameran, kita sediakan 20 kakitangan termasuk anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk memantau aliran trafik. Kita jangka ramai pengunjung pada hari minggu,” katanya.

Pesta buku itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam manakala Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan selain menampilkan beberapa tokoh dan selebriti antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah wang tunai RM500 setiap hari.