Categories
AGENDA SELANGOR

Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan tampil hari pertama Pesta Buku Selangor esok

SHAH ALAM, 1 DIS: Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan dijadual membuat penampilan khas pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini esok.

Penulis novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman itu akan menyertai acara bual bicara Hati dan Minda Sasterawan selama satu jam bermula jam 2.30 petang.

Pesta buku itu turut diisi dengan kegiatan bersifat ilmiah antaranya Bicara Buku dengan menampilkan Prof. Datuk Dr Muhammad Nur Manuty untuk mengisahkan tentang karyanya, Jejak-Jejak Pencerahan Umat yang baru dilancarkan minggu lalu.

Sebagai acara pembuka tirai, slot DIY kraf tangan bersama Bush di pentas SACC bermula jam 9.30 pagi turut bakal meriahkan program tersebut.

Pesta buku kali ini turut memberikan fokus kepada golongan kanak-kanak dengan menyediakan acara bual bicara melibatkan topik Kesedaran Penderaan Kanak-Kanak, Dunia Sastera Kanak-Kanak Malaysia dan Kepentingan Buku Bergambar Kanak-Kanak sebagai Buku Asas.

Turut dianjurkan ialah acara bual bicara Penerbitan Komik Tempatan dan Nomik (Novel Komik) Remaja yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Selangorlibrary.

Acara tersebut melibatkan beberapa agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan  Lembaga Antarabangsa Buku Untuk Orang Muda (IBBY).

Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di SACC di sini mulai 2 hingga 12 Disember menawarkan lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.