Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor Bangkit sedia pelbagai manfaat buat mangsa bah (VIDEO)

SHAH ALAM, 29 DIS: Pelbagai bantuan disediakan melalui Selangor Bangkit khusus buat rakyat negeri ini yang terkesan banjir antara 17 hingga 19 Disember lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan antaranya pengecualian bayaran bil air selama sebulan dan moratorium pinjaman Hijrah selama dua bulan.

Turut disediakan ialah tabung khas bagi membantu mangsa banjir, sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah.

“Fenonema banjir kali ini terjadi sekali dalam 100 tahun, namun ini bukan alasan saya dan pentadbiran negeri untuk lari dari tanggungjawab melakukan yang terbaik demi rakyat.

“Saya mohon maaf dan janji sedaya upaya untuk membawa rakyat Selangor keluar daripada episod duka ini,” katanya dalam keratan video yang dikongsi di Twitter.

Sementara itu, Amirudin berkata insiden banjir yang melanda sebahagian besar Selangor dengan taburan hujan hampir 450mm sehari melebihi jangkauan hingga menenggelamkan beberapa lokaliti.

Berikutan itu, jelasnya, hampir 40,000 penduduk terjejas dan ditempatkan di 205 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah seluruh negeri.

“Setiap tahun kita sedia kemungkinan akibat tengkujuh, malah agensi negeri mengeluarkan amaran dan bersedia sejak Oktober, namun tiada siapa menjangka hujan lebat dalam tempoh sehari menyamai taburan dalam sebulan,” katanya lagi.