Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Seldec sasar 10,000 usahawan dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 10,000 peniaga kecil dan mikro disasar menyertai program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaannya Md Fauzan Elham berkata usaha bagi mencapai sasaran itu dipergiat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

Katanya, agensi terbabit meliputi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Hijrah Selangor dan persatuan usahawan untuk memberi taklimat pemasaran digital.

“Untuk tahun ini sahaja kita menetapkan sasaran 2,000 usahawan berdaftar dan sehingga kini jumlah direkodkan sebanyak 1,200 orang,” katanya.

Beliau ditemui pada program Usahawan ke Arah Pendigitalan Melalui e-Dagang Seldec sempena Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Dalam pada itu, Md Fauzan mengakui kesukaran untuk menarik usahawan luar bandar menyertai Seldec berikutan faktor kurang bimbingan dan kesedaran.

“Jadi, kita perlukan kerjasama mereka juga untuk sertai program ini secara sukarela kerana platform sudah disediakan,” katanya.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah bagi membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.