Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan dukacita banjir terburuk landa negeri, doa bencana berakhir

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan kejadian banjir terburuk yang melanda sebahagian besar daerah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj  juga bimbang atas kesukaran yang dihadapi rakyat selepas menyaksikan sendiri gambar dan video kawasan terjejas susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

“Baginda dimaklumkan banyak lokasi terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air serta kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini,” menurut kenyataan Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor turut berdoa agar bencana tersebut segera berakhir manakala urusan rakyat dipermudahkan serta kembali seperti sedia kala.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.