SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah pelan tindakan komprehensif perlu diperkemas bagi berdepan bencana banjir luar jangka.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pelan sedemikian dapat memastikan tindakan pantas dapat diambil sekali gus menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Baginda juga menitahkan semua pihak bertanggungjawab supaya menyegerakan bantuan ke seluruh pelosok kawasan terjejas banjir.
“Baginda turut mengarahkan agar Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulur bantuan ke pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal,” menurut kenyataan Selangor Royal Office hari ini.
Sultan Sharafuddin turut terharu melihat semangat kerjasama masyarakat dan kumpulan sokongan yang membantu antara satu sama lain ketika berdepan situasi meruncing.
Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.
Usaha itu diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.