SHAH ALAM, 17 JAN: Seramai 34,333 keluarga terkesan banjir bulan lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan peruntukan RM34.453 juta setakat 10 pagi hari ini.
Menurut infografik dikongsi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sebanyak 12 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat menerima bantuan masing-masing RM10,000.
Bagi bantuan RM1,000 kepada keluarga terjejas banjir pula, daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 11,236 isi rumah diikuti Klang (7,376) dan Hulu Langat (6,846).
Bilangan penerima untuk Sepang (3,966), Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,999), Gombak (892), Hulu Selangor (93) dan Sabak Bernam (35).
Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.
Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.
Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.
Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.