Categories
ADN SELANGOR

600 penduduk Meru dapat baucar beli-belah sempena Tahun Baharu Cina

KLANG, 19 JAN: Sebanyak 600 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina disediakan untuk penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru sempena perayaan itu bulan depan.

Wakil rakyatnya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata baucar membeli-belah bernilai RM100 diagihkan mulai minggu depan berserta keperluan harian daripada pusat khidmatnya.

Beliau berkata penduduk juga akan menerima bantuan tunai RM100 daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima khususnya mangsa banjir yang terkesan,” katanya ditemui selepas meninjau serahan Bantuan Selangor Bangkit di sini hari ini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.