Categories
AGENDA NASIONAL

76 pelajar positif Covid-19, kolej vokasional di Melaka diarah tutup

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebuah kolej vokasional di Melaka diarah tutup lapan hari susulan 76 pelajar dikesan positif Covid-19.

Arahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berkuat kuasa 14 Januari hingga Jumaat, lapor Berita Harian.

EXCO kesihatan dan antidadah negerinya berkata kes indeks pertama dikesan membabitkan seorang pelajar perempuan.

“Daripada jumlah positif itu, 71 adalah pelajar lelaki manakala bakinya membabitkan pelajar perempuan manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Penularan kes disyaki berlaku kerana kes yang bergejala masih hadir ke kelas sebelum merebak kepada rakan lain,” kata Dr Muhamad Akmal Saleh.

Berdasarkan penilaian risiko didapati ada ketidakpatuhan tatacara operasi piawai di tempat berisiko seperti bilik asrama.

“Meskipun ia masih dalam siasatan, kita tidak menolak kemungkinan pelajar mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP di kolej.

“Arahan penutupan dibuat serta merta kerana jumlah yang tinggi selain turut diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin,” katanya.