Categories
AGENDA NASIONAL

76 pelajar positif Covid-19, kolej vokasional di Melaka diarah tutup

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebuah kolej vokasional di Melaka diarah tutup lapan hari susulan 76 pelajar dikesan positif Covid-19.

Arahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berkuat kuasa 14 Januari hingga Jumaat, lapor Berita Harian.

EXCO kesihatan dan antidadah negerinya berkata kes indeks pertama dikesan membabitkan seorang pelajar perempuan.

“Daripada jumlah positif itu, 71 adalah pelajar lelaki manakala bakinya membabitkan pelajar perempuan manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Penularan kes disyaki berlaku kerana kes yang bergejala masih hadir ke kelas sebelum merebak kepada rakan lain,” kata Dr Muhamad Akmal Saleh.

Berdasarkan penilaian risiko didapati ada ketidakpatuhan tatacara operasi piawai di tempat berisiko seperti bilik asrama.

“Meskipun ia masih dalam siasatan, kita tidak menolak kemungkinan pelajar mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP di kolej.

“Arahan penutupan dibuat serta merta kerana jumlah yang tinggi selain turut diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar asrama sekolah, kolej vokasional kawasan PKPD dilarang pulang beraya

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Pelajar asrama sekolah dan Kolej Vokasional (KV) di bawah Kementerian Pendidikan yang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) tatacara operasi piawai (SOP) bagi sektor pendidikan untuk PKPD juga menetapkan tiada individu dari sekolah dan KV dibenarkan keluar atau masuk ke/dari kawasan terlibat.

“Tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh PKPD berkuat kuasa. Semua aktiviti persekolahan secara fizikal dan kokurikulum adalah ditangguhkan sepanjang PKPD,” demikian menurut SOP sektor pendididikan yang dikongsikan MKN di laman Telegram rasminya.

Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, pergerakan adalah dibenarkan dengan syarat perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis selain wakil keluarga boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)

Selain itu, sumbangan bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tempoh PKPD hendaklah melalui JPBD yang juga bertanggungjawab untuk menyelaras pemberian bantuan bekalan makanan.

Mengenai SOP bagi kawasan atau negeri dikenakan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) serta PKP Pemulihan (PKPP), MKN memaklumkan sekolah perlu menyediakan jadual pergerakan pelajar untuk pulang ke rumah dan kembali semula ke asrama.

Semua pelajar bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei dan kembali ke asrama pada 12 Jun manakala pelajar untuk negeri Kumpulan B (Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dibenarkan pulang mulai 7 Mei dan kembali pada 13 Jun.

Bagi tujuan pergerakan pelajar, MKN menetapkan agar kenderaan sekolah atau sewa khas perlu disediakan sekiranya terdapat lebih 10 orang yang perlu merentas negeri atau zon bagi Sabah dan Sarawak manakala kenderaan sendiri hanya boleh digunakan bagi pelajar yang tidak perlu merentas negeri dan terdapat 10 orang atau kurang yang perlu merentas negeri atau zon di Sabah dan Sarawak.

“Sekolah perlu menetapkan lokasi bagi menurunkan/mengambil murid di setiap negeri. Ibu bapa/penjaga boleh menjemput anak/anak jagaan di lokasi yang telah ditetapkan,” menurut SOP itu.

SOP itu juga menetapkan ibu bapa/penjaga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai anak bersekolah di Labuan boleh mengambil dan menghantar pulang anak/anak jagaan di lokasi ditetapkan sahaja.

Bagi tujuan pengurusan kesihatan, semua pelajar perlu menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki kenderaan yang disediakan oleh sekolah dan telah disanitasi, sentiasa memakai pelitup muka dan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang perjalanan.

Selain itu, pelajar yang sihat sahaja dibenarkan kembali ke asrama dengan syarat mereka dan ahli keluarga yang tinggal serumah tidak dalam tempoh kuarantin atau merupakan kontak rapat individu positif Covid-19 dan perlu mengemukakan borang pengisytiharan kesihatan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 26 April lepas mengumumkan sesi pembelajaran selepas cuti hari Aidilfitri akan diteruskan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei hingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei hingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

-BERNAMA

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu lepasan Kolej Vokasional tanpa SPM

Merujuk kepada kenyataan mengenai LEPASAN KV TANPA SPM TAK LAYAK IKUTI PROGRAM IJAZAH yang disiarkan oleh akhbar tempatan pada 6 Januari 2017, pihak MQA ingin menjelaskan bahawa lepasan Kolej Vokasional (KV) yang menerima Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berkeinginan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah boleh memohon untuk kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara.

 

Kemasukan ini boleh dibuat melalui laluan Teknikal & Vokasional dengan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak MQA iaitu pengalaman kerja sekurang-kurangnya sehingga berumur 21 tahun dan mendapat sijil Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) (Rujuk carta yang dilampirkan:Laluan Graduan DVM Ke IPT).

Selain itu, lepasan KV yang menerima sijil DVM juga boleh melanjutkan pengajian ke IPT secara serta merta boleh dipertimbangkan dengan syarat iaitu lulus kesetaraan Sijil Pelajaran Malaysia – Sijil Vokasional Malaysia (SPM-SVM) yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan, KPM dan syarat-syarat lain yang dipersetujui oleh kedua-dua Kementerian.

Ini menunjukkan bahawa setiap lepasan KV masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian walaupun memasuki alam pekerjaan lebih awal. Sijil APEL yang dikeluarkan oleh MQA diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu syarat minimum yang ditetapkan untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, pihak MQA ada menyediakan kemudahan semakan untuk orang awam dengan melayari portal APEL iaitu www.mqa.gov.my/APEL atau menghubungi MQA di talian 03-7968 2253 / [email protected] (Hazirah), atau 03-7968 3315 / [email protected] (Izzatyliyana) untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Sumber : Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa
Tel : 03-7968 7002
Emel : [email protected].