Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN saran tambah anggota di lapangan, percepat agih bantuan bah

SHAH ALAM, 26 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis menyarankan pegawai daerah menambah anggota di lapangan bagi mempercepat semakan permohonan dan agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berpendapat langkah terbabit wajar susulan peningkatan jumlah permohonan bantuan banjir RM1,000 yang dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

“Saya melihat pejabat daerah perlu segera memproses permohonan dengan membawa pegawai tambahan dari daerah lain yang kurang terjejas,” katanya selepas menyerahkan bantuan alatan kepada penjaja kecil di Wisma Kohijrah di sini semalam.

Sementara itu, Mohd Zawawi memaklumkan lebih 2,000 keluarga terjejas bencana sekitar Sungai Kandis sama ada yang kekal di rumah atau berada di pusat pemindahan sudah menerima bantuan.

“Kita jangkakan permohonan akan terus bertambah,” katanya lagi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.