Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa Putrajaya utama langkah cegah banjir, bukan projek mega

SHAH ALAM, 5 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan pusat mengutamakan langkah pencegahan banjir untuk manfaat kebanyakan rakyat berbanding projek mega.

Ketua pembangkang itu berkata projek seperti mendalamkan sungai dan membina tebing harus menjadi keutamaan pada masa kini bagi mengelakkan kejadian banjir besar melanda hampir seluruh negara termasuk Selangor pada Disember lalu berulang.

Tegasnya, alasan ketiadaaan dana tidak harus berbangkit kerana Putrajaya sanggup berbelanja besar melaksanakan projek mega seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selain mempunyai jemaah menteri besar yang menikmati pelbagai kemudahan elaun.

“Kalau tengok Covid-19 dan banjir ramai terkesan orang susah jadi menganggap orang peringkat bawahan kurang dipedulikan, masalah ini kata wang tidak cukup tetapi belanja besar menteri sampai 70 dengan macam-macam kemudahan tidak ada pula kata soal wang,” katanya dalam video di Facebooknya hari ini.

Hari ini, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat berada di Melaka untuk melawat kawasan terjejas akibat banjir.

Anwar juga meminta kerajaan pusat menghentikan kebenaran menjalankan pembalakan yang menjadi punca banjir besar sehingga menjejaskan kehidupan puluhan ribu masyarakat.

Beliau turut mendesak syarikat mendapat konsesi pembalakan supaya turun padang membantu rakyat yang terjejas akibat aktiviti dilakukan mereka.

“Syarikat ini untung ratus-ratus juta ringgit tetapi hendak bagi bantuan RM200 kepada orang kampung, kedurjanaan mereka menyebabkan kerosakan persekitaran yang menyebabkan hakisan parah.

“Perdana menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) harus beri jawapan tegas dalam masa singkat dan di parlimen (selain) (tubuh) suruhanjaya, hentikan segala kelulusan pembalakan dan pastikan kemudahan asas disegerakan untuk tidak bebankan rakyat,” katanya.