Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Enam keluarga terlibat banjir di Banting dipindahkan

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 15 mangsa membabitkan enam keluarga di Kampung Sungai Nangka, Banting dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Sri Langat susulan banjir lewat petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.30 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama jentera, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS), kembara serta bot bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8 malam didapati purata paras air setinggi dua kaki (0.6 meter) dan menunjukkan trend peningkatan.

“Hampir semua keluarga di kampung terbabit sudah berpindah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota bomba menjalankan kerja menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Nangka, Banting pada 2 Januari 2022. Foto Bomba Selangor

Norazam berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di sekitar lokasi terbabit.