Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebihan kupon parkir bergores boleh ditebus di pejabat PBT

CHERAS, 10 JAN: Kupon parkir bergores yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas Mac nanti.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata lebihan kupon itu akan dikreditkan ke dalam aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

“Proses penebusan akan dimaklumkan selepas itu dan mungkin mereka perlu ke PBT untuk menebusnya.

“Setakat ini, maklum balas dan sambutan penggunaan e-kupon diterima baik berikutan pandemik dan kita menggalakkan jika masih belum menggunakannya, mereka habiskannya,” katanya.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612 atau e-mel [email protected].