Categories
AGENDA NASIONAL

Pembekal perlu segera agih minyak masak elak kekurangan di pasaran

MARANG, 30 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengarahkan semua syarikat di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dan pembekal supaya menyegerakan pembungkusan dan agihan minyak masak bagi mengelakkan kekurangan bekalan di pasaran.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata isu kekurangan bekalan tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah meluluskan pengeluaran sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan bagi meringankan beban pengguna daripada golongan kurang berkemampuan.

“Namun disebabkan beberapa faktor seperti pembelian panik oleh pengguna, berlaku sedikit gangguan bekalan di pasaran, dan diburukkan lagi dengan berita-berita tidak sahih mengenai kenaikan harga barangan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Wakaf Tapai di sini, hari ini.

Menurut Azman selain pembelian panik, pembukaan sektor ekonomi secara penuh dalam tempoh cuti perayaan turut menyumbang kepada kekurangan bekalan di pasaran.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan golongan peniaga supaya tidak mengenakan syarat tertentu bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi kerana ia menyalahi undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Azman berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tindakan itu diminta menyalurkan aduan secara rasmi berserta informasi lengkap kepada KPDNHEP agar tindakan tegas dapat diambil terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Ada kedai yang meletakkan syarat pelanggan perlu membeli barangan lain sebelum boleh mendapatkan minyak masak. Ini kami dah ambil beberapa tindakan berdasarkan aduan pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan bahawa pihaknya telah menjalankan pemeriksaan harga dan bekalan di 80,465 premis seluruh negara bermula 1 hingga 28 Jan lalu dan daripada jumlah itu, 19 peratus atau 12,834 premis terletak di kawasan luar bandar.

“Pemeriksaan itu adalah bagi memastikan pengguna di kawasan luar bandar turut menikmati bekalan keperluan asas seperti gula, tepung gandum dan minyak masak pada kadar harga yang sama dengan penduduk di bandar.

“Jarak perjalanan jauh, keadaan geografi atau kemudahan akses ke sesuatu tempat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk peniaga menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya kerana ia adalah sebahagian daripada rutin sistem rantaian pembekalan,” katanya.

– BERNAMA