Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor rugi RM3.1 bilion, 60 peratus libatkan rumah dan kenderaan

SHAH ALAM, 28 JAN: Selangor mengalami kerugian RM3.1 bilion akibat banjir besar hujung tahun lalu, kira-kira 50 peratus daripada jumlah seluruh negara.

Kerugian terbesar melibatkan daerah Klang sebanyak RM1.2 bilion diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM0.4 bilion), tiga lokasi terjejas teruk dalam bah 18 Disember lalu.

“Kerugian akibat banjir keseluruhannya RM6.1 bilion yang bersamaan 0.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar nominal,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Sebanyak 60 daerah di 11 negeri terjejas akibat banjir.”

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pecahan kerugian di Selangor seperti berikut, kira-kira 60 peratus daripadanya melibatkan rumah dan kenderaan:

– kediaman RM1 bilion
– kenderaan RM855 juta
– industri pembuatan RM884.5 juta, dan
– premis perniagaan RM396.4 juta.

Daripada kerugian di seluruh negara, sebanyak RM2 bilion melibatkan aset awam dan prasarana. Kerugian lain seperti berikut:

– kediaman RM1.6 bilion
– kenderaan RM1 bilion
– sektor pembuatan RM0.9 bilion, dan
– premis perniagaan RM0.5 bilion.

Selain Selangor, negeri lain yang terjejas teruk adalah Pahang dengan nilai kerugian RM593.2 juta, Melaka (RM85.2 juta) dan Negeri Sembilan (RM77.1 juta).

Kerugian di tujuh negeri seperti berikut:

– Johor RM50.1 juta
– Kuala Lumpur RM32.4 juta
– Kelantan RM22 juta
– Sabah RM9.3 juta
– Perak RM3.4 juta
– Terengganu RM0.4 juta, dan
– Sarawak RM0.01 juta

Tinjauan DOSM dibuat antara 30 Disember hingga 27 Januari melibatkan negeri terjejas menerusi panggilan telefon, wawancara bersemuka dan pemerhatian.