Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita lalui detik cemas lahirkan bayi dalam kereta dekat Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JAN: Seorang wartawan akhbar Tamil hari ini menarik perhatian pengguna media sosial kerana sifat prihatin beliau membantu wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Sri Subramaniar  Batu Caves pagi tadi.

Wartawan berkenaan, LK Savantharaja memberitahu ketika kejadian beliau ke kuil itu untuk menghadiri upacara Thaipusam sebelum ternampak wanita sedang menahan sakit menjerit meminta tolong.

“Ternampak seorang wanita jerit minta tolong di luar kuil. Terus saya berlari sebelum nampak seorang ibu bangsa Melayu nak bersalin dalam kereta.

LK Savantharaja dan beberapa pengunjung menutup tingkap dengan kain (vesthi) ketika membantu seorang wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Sri Subramaniar Batu Caves pagi tadi. Foto Facebook LK Savantharaja

“Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi). Masa bayi selamat dilahirkan, saya bagitau ‘Kakak you and your baby are blessed, rasa gembira dia selamat lahirkan bayi perempuan,” katanya.

Menerusi hantaran beliau di Facebook, wanita itu dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan yang tiba selepas bayi itu selamat dilahirkan.

“Sebelum mereka pergi hospital, saya sempat selfie dengan bapa kepada bayi itu untuk kenangan,” katanya.

LK Savantharaja sempat merakam kenangan bersama suami wanita berkenaan. Foto Facebook LK Savantharaja