Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bersalin dekat kuil Batu Caves terharu dibantu peserta Thaipusam

SHAH ALAM, 22 JAN: Seorang ibu yang melahirkan bayi di dalam kereta berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves ketika Thaipusam berterima kasih kepada peserta perayaan tersebut.

Lidawati Zakaria, 39, berkata beliau akan mengenang budi baik Marie Puspan dan anaknya, Naroshini Annaselam yang menyambut kelahiran bayi perempuannya dalam kejadian Selasa lalu, lapor FMT.

“Saya terharu… ramai yang tolong. Saya terkejut sebab mereka sanggup tanggalkan kain walaupun ia untuk perayaan mereka? Lagi pun ada darah kan? Tapi mereka masih (tolong) tutup aurat saya,” katanya.

Wanita dari Meru, Klang itu berkata sampai sekarang beliau masih menyimpan kain (vesthi) tersebut.

Menceritakan kembali detik kelahiran anak kelimanya, Lidawati berkata beliau dan suami dalam perjalanan ke hospital di Gombak selepas ‘turun tanda’ namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berhampiran kuil tersebut.

Katanya, ketika itu Marie, Naroshini dan beberapa peserta Thaipusam lain datang membantu bagi memastikan beliau melahirkan anaknya tanpa apa-apa komplikasi.

“Ketika itu, ada mak cik (Marie) dan kakak (Naroshini) ketuk pintu dan bertanya adakah saya ‘okay’. Saya cakap saya melahirkan bayi. Mereka suruh saya buka pintu kereta. Saya kata tak apa sebab tak mahu ganggu perayaan mereka.

“Tapi mereka suruh saya buka pintu dan mereka tolong sambut bayi saya. Saya terharu sebab mereka buka kain sari dan tolong tutup keadaan saya. Kain sari mereka habis kotor kena darah saya,” katanya.

Selasa lalu, seorang wartawan akhbar Tamil menarik perhatian pengguna media sosial kerana sifat prihatin beliau membantu wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Batu Caves.

LK Savantharaja memberitahu ketika kejadian beliau ke kuil itu untuk menghadiri upacara Thaipusam sebelum ternampak wanita sedang menahan sakit menjerit meminta tolong.

“Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi). Masa bayi selamat dilahirkan, saya bagitau ‘Kakak you and your baby are blessed, rasa gembira dia selamat lahirkan bayi perempuan,” katanya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tarikan Thaipusam di Batu Caves, terima jutaan pengunjung saban tahun

Batu Caves adalah bukit batu kapur yang cukup masyhur sehingga menjadi tumpuan pelancong luar negara.

Kemeriahan Hari Thaipusam pada setiap awal tahun yang disambut di gua-gua Batu Caves telah menaikkan status kawasan berkenaan sebagai lokasi upacara keagamaan Hindu terbesar di Asia Tenggara.

Wartawan FARIDZWAN ABDUL GHAFAR menyusun fakta mengenai Batu Caves yang dilawati lebih sejuta pengunjung setiap tahun semasa perayaan Thaipusam sebelum pandemik Covid-19.

– 326 meter dari aras laut
– 13 kilometer utara Kuala Lumpur
– Seluas 1.56 km persegi
– Dinamakan sempena Sungai Batu

Ada 20 gua, yang terkenal antaranya:
– Gua Kuil
– Gua Gelap
– Gua Villa
– Gua Ramayana

272 anak tangga dibina dan dicat pelbagai warna
Terdapat 269 spesies tumbuhan sekitarnya

Ditemui pencinta alam sekitar William Temple Hornaday pada 1878
Diperkenal sebagai tempat ibadat oleh pedagang India K Thamboosamy Pillai
Kuil pertama dibina dalam gua pada 1891
Patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter didirikan pada 2006

Thaipusam di Batu Caves
Mula disambut pada 1892
Diraikan penganut Hindu pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil
Sebelum pandemik, lebih sejuta penganut Hindu berkumpul di situ

Upacara membabitkan ritual di kuil
– mencukur rambut
– membawa kavadi
– upacara mandi
– membawa bekas susu
– perarakan pedati berhala

Susulan wabak Covid-19, tatacara operasi piawai (SOP) sambutan diperketatkan

Penganut-penganut Hindu menjunjung belanga berisi susu ketika berarak ke Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 18 Januari 2022. Foto BERNAMA
Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

500 bungkus makanan diagih elak penganut Hindu berkumpul rai Thaipusam

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 500 bungkus makanan diedarkan secara percuma kepada penganut Hindu yang meraikan Thaipusam di Kuil Bandar Country Homes, Rawang hari ini.

Pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan itu bagi mengelak masyarakat berkumpul di lokasi berkenaan sebaik selesai melakukan upacara keagamaan.

“Meskipun diraikan secara sederhana, namun sambutan perayaan di kuil terbabit berjalan agak baik dan lancar dengan rata-rata penganut mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Selepas menunaikan hajat, mereka diberikan makanan bungkus dan diarah beredar dari kawasan kuil,” kata Dr G Gunarajah ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau berharap masyarakat Hindu dapat menerima hakikat perayaan itu sekali lagi terpaksa disambut kecil-kecilan, tidak seperti kelaziman susulan pandemik Covid-19.

“Paling penting mereka berpeluang menunaikan hajat. Mungkin tahun depan kita boleh meraikan seperti biasa memandangkan akan beralih ke fasa endemik,” kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita lalui detik cemas lahirkan bayi dalam kereta dekat Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JAN: Seorang wartawan akhbar Tamil hari ini menarik perhatian pengguna media sosial kerana sifat prihatin beliau membantu wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Sri Subramaniar  Batu Caves pagi tadi.

Wartawan berkenaan, LK Savantharaja memberitahu ketika kejadian beliau ke kuil itu untuk menghadiri upacara Thaipusam sebelum ternampak wanita sedang menahan sakit menjerit meminta tolong.

“Ternampak seorang wanita jerit minta tolong di luar kuil. Terus saya berlari sebelum nampak seorang ibu bangsa Melayu nak bersalin dalam kereta.

LK Savantharaja dan beberapa pengunjung menutup tingkap dengan kain (vesthi) ketika membantu seorang wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Sri Subramaniar Batu Caves pagi tadi. Foto Facebook LK Savantharaja

“Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi). Masa bayi selamat dilahirkan, saya bagitau ‘Kakak you and your baby are blessed, rasa gembira dia selamat lahirkan bayi perempuan,” katanya.

Menerusi hantaran beliau di Facebook, wanita itu dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan yang tiba selepas bayi itu selamat dilahirkan.

“Sebelum mereka pergi hospital, saya sempat selfie dengan bapa kepada bayi itu untuk kenangan,” katanya.

LK Savantharaja sempat merakam kenangan bersama suami wanita berkenaan. Foto Facebook LK Savantharaja
Categories
SELANGOR

Penganut Hindu terjejas banjir rai Thaipusam secara sederhana, ikut tradisi

SHAH ALAM, 18 JAN: Sambutan Thaipusam di Taman Sri Muda di sini tetap dirai mengikut tradisi biarpun penduduk masih trauma dengan banjir besar pada pertengahan Disember lalu.

Tinjauan di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman Seksyen 23 mendapati sekitar 60 penganut Hindu berkunjung ke rumah ibadat itu untuk mengikuti upacara termasuk ‘paal koodam’ atau membawa belanga berisi susu.

Semua pengunjung yang hadir memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang berada di kuil berkenaan.

Penganut Hindu melakukan upacara keagamaan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sempena perayaan Thaipusam ketika tinjauan di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman, Seksyen 23, Shah Alam pada 18 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mereka yang hadir pula adalah penduduk dari kawasan berhampiran termasuk Taman Sri Muda dan Bukit Kemuning.

Pengerusi Kuil T Sugurthalingam berkata upacara di premis itu berjalan seperti biasa walaupun ada sebahagian kawasannya dinaiki air sehingga merosakkan sebahagian peralatan.

“Kita sudah baiki kawasan itu bagi memberi keselesaan kepada penganut mengikuti upacara Thaipusam.

“Sambutan sederhana dan ikut tatacara operasi piawai untuk elak penularan Covid-19, kuil ini boleh memuatkan 200 orang tetapi kita hadkan untuk ada penjarakan fizikal,” katanya di sini, hari ini.

Pengerusi kuil T Sugurthalingam

Tambah Sugurthalingam, kuil itu turut membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Sri Muda dan kawasan sekitar ketika bencana itu melanda pada 18 Disember lalu.

“Kita sumbang makanan dan barangan seperti pakaian serta selimut untuk keselesaan mangsa. Kuil ini juga menjadi pusat pengumpulan bantuan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambil iktibar simbolik pengorbanan demi kebaikan semua

SHAH ALAM, 18 JAN: Simbolik pengorbanan penganut Hindu dalam sambutan Hari Thaipusam harus diambil iktibar semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Merujuk sebahagian upacara perayaan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengajak semua pihak berkorban demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat keseluruhan.

“Justeru simbolik pengorbanan ini dapat diambil iktibar oleh segenap warga tanpa mengira latar agama dan bangsa,” katanya dalam perutusan Hari Thaipusam hari ini.

Beliau menjelaskan perayaan itu dirai dengan pergerakan terbatas susulan pandemik Covid-19 yang masih berterusan selain kesan tragedi banjir yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

“Iltizam setiakawan atas dasar manusiawi yang ditunjukkan oleh semua sukarelawan yang datang dari pelusuk negara membuktikan betapa pengorbanan semua pihak diperlukan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terjejas banjir bukan halangan sambut Thaipusam

SHAH ALAM, 17 JAN: Biarpun terlibat musibah banjir baru-baru ini, perayaan Thaipusam tetap disambut penganut Hindu walaupun dalam keadaan sederhana.

Suri rumah P Paruvathy, 60, berkata banjir yang melanda Selangor terutama kawasan kediamannya di Taman Sri Muda menjadi satu peristiwa yang menginsafkan.

“Kami sekeluarga memang berasa sedih dengan kejadian menimpa terutama ketika menyambut Thaipusam kerana rumah masih belum selesai kemas sepenuhnya.

“Bagaimanapun kami terima dan bersyukur sambutan Thaipusam masih boleh disambut meskipun perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

P. Paruvathy bersama keluarganya membuat persiapan perayaan Thaipusam di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 16 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ibu kepada lima anak itu turut berkata kejadian banjir beri pengajaran kepada semua supaya hidup secara sederhana, bersatu padu dan tidak menganiaya sesama insan.

“Pada tahun ini, saya berdoa supaya kita semua diberi kesihatan yang baik dan mendoakan anak-anak mendapat pelajaran sempurna demi masa depan mereka,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’ pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: Jalan sekitar Batu Caves tutup mulai 7 malam hingga 12 tengah malam

SHAH ALAM, 17 JAN: Tujuh jalan di sekitar Kuil Subramaniam Batu Caves ditutup bermula semalam hingga 21 Januari depan sempena sambutan Thaipusam.

Polis daerah Gombak menerusi Facebook memaklumkan penutupan jalan bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam bagi memastikan kelancaran aliran trafik bagi pengguna jalan raya.

Seramai 318 pegawai kanan dan anggota ditugaskan sepanjang jalan bagi memastikan kelancaran trafik.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed ketika turun padang meninjau kawasan sekitar kuil berharap masyarakat sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menjaga keselamatan sepanjang perayaan.

Berikut adalah jalan yang ditutup:

– Lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves
– Susur dari arah MRR2 ke kuil Batu Caves
– Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama kuil Batu Caves
– Simpang 3 lampu isyarat hadapan Stesen Minyak Shell Batu Caves
– Simpang 3 Jln SBC 8 / Jalan Lama Batu Caves
– Susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves
– Jalan Perusahaan menghala ke kuil Batu Caves

Categories
ADN SELANGOR

Thaipusam: Masyarakat diseru ikut SOP demi keselamatan, kesihatan

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat Hindu diseru supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sempena perayaan Thaipusam demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Hindu Selangor V Ganabatirau berkata langkah itu penting bagi mengelak penularan wabak ketika menyambut perayaan terutama terhadap kanak- kanak dan warga emas.

“Walaupun disambut dengan keadaan SOP tetapi kebenaran untuk masyarakat Hindu membayar nazar dan sembahyang masih dibenarkan.

“Oleh demikian, saya seru masyarakat Hindu sucikan rohani dan tidak melawan apa yang ditetapkan kerajaan supaya niat baik dapat dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Rabu Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Terbangkan dron rakam sambutan Thaipusam perlu kebenaran CAAM

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Mana-mana individu yang ingin menerbangkan dron bagi merakam suasana sambutan Thaipusam pada Selasa ini perlu mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil jika terdapat mana-mana individu yang melanggar peraturan berkenaan.

“Anggota-anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan turut akan digerakkan bagi membantu penugasan mengawal keselamatan dan kelancaran sambutan itu yang bakal bermula malam ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, di Selangor kira-kira 2,000 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan sambutan Thaipusam di dua lokasi utama di negeri berkenaan berjalan lancar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata seramai 1,500 anggota ditempatkan di sekitar Batu Caves manakala bakinya di Kuala Selangor.

Di Pulau Pinang pula seramai 1,300 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan berkenaan menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Batu Caves mula dikunjungi ramai sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR , 16 JAN: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang hari ini menjelang perayaan itu Selasa ini.

Kebanyakan mereka dilihat membawa ‘Paal Koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan.

Malah, tinjauan Bernama seawal 8 pagi mendapati pengunjung berbilang bangsa juga tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan, dengan masing-masing dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Tidak seperti sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka, di perkarangan kuil.

Pegawai Informasi Pejabat Batu Caves K Tamilvaani berkata pihaknya menerima pengunjung seawal 12 tengah malam semalam, bagi melaksanakan upacara sembahyang.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata seperti mana ditetapkan kerajaan, pihaknya menyediakan Kod QR Mysejahtera, pengimbas suhu badan serta tag, bagi pengunjung yang membawa ‘Paal Koodam’.

Katanya bagi menjaga kesesakan dan penjarakan sosial, hanya 500 orang dibenarkan memasuki ke kawasan kuil pada satu-satu masa.

“Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja-kerja sanitasi akan dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu sidang media, hari ini sebelum meninjau sambutan berkenaan berkata situasi semasa di sekitar kawasan kuil masih dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terlibat dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, kebanyakkan pengunjung yang hadir meluahkan rasa gembira dapat menunaikan upacara sembahyang, dalam keadaan selesa dan teratur.

Salah seorang pengunjung N Lokizhwaran, 25, berkata beliau lebih selesa walaupun dalam keadaan SOP yang ketat.

“Kalau dahulu, saya mengambil masa empat jam untuk sampai ke kuil di puncak kerana kepadatan pengunjung, manakala hari ini saya selesai upacara ibadat dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.

Turut berkongsi rasa yang sama, D Dashieny, 26, berkata kemeriahan itu masih dirasai kerana masih ada laungan ‘Vel Vel’, walaupun tiada iringan musik dan sebagainya.

“Bagi saya suasana pada kali ini lebih tenang dan lebih bersifat ketuhanan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Little India Klang jadi tumpuan masyarakat Hindu beli barang sempena Thaipusam

KLANG, 15 JAN: Beberapa hari menjelang sambutan Thaipusam, Little India Klang, Jalan Tengku Kelana di sini kembali menjadi tumpuan masyarakat Hindu untuk membeli-belah.

Tinjauan Selangorkini mendapati barangan seperti herba, kapur barus, daun kunyit, botol susu, periuk tanah liat, kacang, pakaian dan aksesori mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung.

Peniaga herba, Ravi Muthupillay, 62, berkata sejak tiga hari lalu, premisnya dikunjungi ramai pelanggan khususnya peniaga kecil yang mahu mendapatkan herba dalam kuantiti banyak.

Ravi Muthupillay, 67

“Kebanyakan pelanggan merupakan peniaga kecil yang membuat pembelian untuk perniagaan mereka sendiri sebelum dijual kepada orang lain.

“Sambutan agak baik tetapi tidaklah seperti tahun-tahun sebelum Covid-19 melanda negara. Sekarang kita masih terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP), jadi hasil jualan sedikit perlahan,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak tiga dekad lalu.

Bagi peniaga aksesori wanita Kavitha Murugasan, 50, jualan seperti gelang, rantai dan anting-anting di tiga unit kedai miliknya laris berikutan potongan harga yang ditawarkan kepada pelanggan sejak awal bulan ini.

Kavitha Murugasan, 50

“Saya tawar diskaun 10 hingga 20 peratus untuk semua aksesori yang dijual di sini sempena musim perkahwinan termasuk perayaan Thaipusam sehingga April ini. Pelanggan boleh dapat harga serendah RM5.

“Disebabkan itu, pelanggan tak putus-putus masuk ke kedai, namun tetap mengutamakan SOP dengan hanya membenarkan sejumlah pelanggan masuk ke premis pada satu-satu masa,” katanya.