Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

65,000 tonton sambutan Tahun Baharu Cina negeri dalam talian

SHAH ALAM, 2 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat Selangor edisi kedua secara dalam talian malam tadi merekodkan sekitar 65,000 penonton.

Program yang disiarkan di Facebook pemimpin negeri dan Media Selangor berlangsung meriah dengan persembahan budaya pelbagai kaum, kata pengerusi jawatankuasa khas agama Buddha dan Tao.

“Program kali ini sungguh warna-warni. Saya gembira melihat semua persembahan kebudayaan yang pelbagai dan berbilang kaum ditambah bilangan tontonan yang agak ramai.

“Meskipun sudah dibenarkan merentas negeri dan bertemu sanak saudara tetapi masih ada beri sokongan dengan menonton program ini dan menyertai peraduan menangi angpau,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Program lebih 90 minit menyajikan 10 persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan daripada 55 artis tempatan dari tiga generasi dengan kos sekitar RM500,000.

Penonton bertuah turut memenangi angpau keseluruhan sehingga RM10,000 antara RM38 (200 angpau), RM68 (20 angpau), RM188 (empat) dan RM288 (satu angpau).

Cabutan angpau diadakan pada minit ke-35, 51 dan 60 serta selepas siaran langsung tamat manakala senarai pemenang akan diumumkan kelak.

Sambutan diteruskan secara dalam talian sejak tahun lalu susulan penularan Covid-19 belum reda.

Senarai persembahan seperti berikut:

-Nyanyian lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan artis Lee Elaine
–Tarian Singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
–Tarian oleh Dua Space Dance Theatre
–Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh kumpulan Colour of Voices
–Persembahan muzik tradisi guzheng oleh Sara Heng
–Persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion
–Persembahan guzheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution
–Persembahan artis Lim Wen Suen
–Persembahan artis Gaston Pong & JE Pong
–Ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri