Categories
ADN SELANGOR

ADN jejak warga emas rumah ke rumah daftar SMUE

SHAH ALAM, 13 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang melawat rumah warga emas setiap bulan bagi memperkenal Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada yang layak.

Inisiatif itu berikutan pendaftaran warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit masih rendah dengan hanya sekitar 9,000 orang setakat ini, jelas Azmizam Zaman Huri.

“Selain ziarah dan bertanya khabar kepada warga emas, saya turut memperkenalkan skim ini, yang boleh didaftar di mana-mana Pejabat Khidmat Masyarakat DUN,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum itu, beliau bersama Persatuan Penduduk Kota Bayuemas menziarah dan menyerahkan keperluan asas kepada warga emas kurang berkemampuan selain membantu mendaftarkan SMUE.

Skim tersebut diperkenal sejak 2008 khusus buat warga emas berumur 60 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU) berumur 21 tahun ke atas.

Setiap ahli akan menerima baucar hadiah hari jadi sebanyak RM100 dan tabung khairat kematian RM500.