Categories
ADN SELANGOR

ADN jejak warga emas rumah ke rumah daftar SMUE

SHAH ALAM, 13 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang melawat rumah warga emas setiap bulan bagi memperkenal Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada yang layak.

Inisiatif itu berikutan pendaftaran warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit masih rendah dengan hanya sekitar 9,000 orang setakat ini, jelas Azmizam Zaman Huri.

“Selain ziarah dan bertanya khabar kepada warga emas, saya turut memperkenalkan skim ini, yang boleh didaftar di mana-mana Pejabat Khidmat Masyarakat DUN,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum itu, beliau bersama Persatuan Penduduk Kota Bayuemas menziarah dan menyerahkan keperluan asas kepada warga emas kurang berkemampuan selain membantu mendaftarkan SMUE.

Skim tersebut diperkenal sejak 2008 khusus buat warga emas berumur 60 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU) berumur 21 tahun ke atas.

Setiap ahli akan menerima baucar hadiah hari jadi sebanyak RM100 dan tabung khairat kematian RM500.

 

Categories
ADN SELANGOR

Senggara parit kampung sekitar Pelabuhan Klang, elak risiko banjir kilat

SHAH ALAM, 20 OKT: Penyelenggaraan sistem perparitan dijalankan setiap masa di beberapa kawasan sekitar Pelabuhan Klang bagi mengatasi isu banjir kilat.

Kerja dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang menumpukan kawasan berisiko iaitu Kampung Perajurit, Taman Selat Damai dan Taman Teluk Gedung, kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri menjelaskan langkah itu juga sebagai persediaan awal menghadapi musim air pasang besar sekali gus menjamin keselamatan penduduk setempat.

“Kita tidak boleh halang cuaca, jadi mereka (JPS) laksana kerja pengorekan sepanjang masa tanpa menunggu aduan daripada penduduk.

“Sekurang-kurangnya kalau berlaku banjir hanya di atas jalan. Sistem perparitan juga tidak akan tersumbat sekali gus mengelak air masuk ke dalam rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi supaya sentiasa memantau longkang dan parit di kawasan pentadbiran yang perlu menjalani proses sama.

“Mereka kena lebih proaktif untuk memastikan sistem perparitan dapat mengalirkan air dengan lancar. Saya berterima kasih kepada JPS Klang dan MPK yang mengambil langkah seperti ini di kawasan berkenaan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Sarang penagih dadah di Gerai MPK diserbu, 15 ditahan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 15 individu ditahan selepas polis menyerbu kawasan dipercayai menjadi sarang penagih dadah di Gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) Sungai Aur, Pelabuhan Klang hari ini.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata operasi dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Persekitaran MPK jam 10 pagi tadi.

Menurut Azmizam Zaman Huri, pihak berkuasa turut menemui sampah dan sisa barang yang dikumpul penagih dadah yang menghasilkan bau busuk dan mengundang rasa kurang selesa kepada peniaga dan pengunjung gerai tersebut.

“Kesemua individu tersebut dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana mengambil tindakan pantas bagi membendung masalah najis dadah terutama di kawasan pekan Pelabuhan Klang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK segera membersihkan kawasan gerai berkenaan bagi mengelak pembiakan aedes yang boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap peniaga dan pengunjung.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

400 warga emas Pulau Indah terima dos pertama vaksin Pfizer

SHAH ALAM, 27 JUN: Seramai 400 warga emas sekitar Pulau Indah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Pulau Indah hari ini.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata mereka bersemangat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) dengan mengikut masa ditetapkan iaitu antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Saya seronok melihat mereka yang hadir malah difahamkan ada antara warga emas begitu bersemangat sehingga sanggup menunggu di pintu pagar seawal jam 7 pagi bagi mendapatkan suntikan pelalian.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri beramah mesra dengan seorang warga emas yang selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Pulau Indah pada 27 Jun 2021. Foto Facebook Azmizam

“Saya berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan PPV kerana komited memastikan program imunisasi kebangsaan berjalan lancar mengikut jadual di kawasan Pulau Indah serta sekitarnya,” kata Azmizam Zaman Huri dalam kenyataan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai belum mendaftar sebagai penerima vaksin supaya berbuat demikian dengan kadar segera manakala yang sedang menunggu giliran dinasihatkan bersabar.

“Kita perlu bersama berusaha memastikan penularan wabak segera berakhir supaya semua orang boleh kembali hidup normal seperti sedia kala.

“Tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga harus dipatuhi walaupun sudah disuntik vaksin. Insya-Allah, semua akan selamat dan berjaya keluar daripada pandemik,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN sumbang mesin kacau dodol, bantu penduduk jana pendapatan

SHAH ALAM, 2 JAN: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang menyumbang mesin kacau dodol kepada penduduk Kampung Nelayan, Telok Gong bagi menjana pendapatan baharu, kelmarin.

Azmizam Zaman Huri berkata sumbangan berkenaan membolehkan golongan ibu menghasilkan produk dodol untuk ditempatkan di pasaran.

“Ini sebagai usaha membantu penduduk menjana sumber pendapatan selepas berlakunya pandemik Covid-19.

“Kita mahu bantu penduduk meningkatkan ekonomi keluarga dan sekitar. Diharap sumbangan ini akan memberi semangat kepada penduduk,” katanya menerusi Facebook Pusat Khidmat Masyarakat N46 Pelabuhan Klang, malam tadi.

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Guru diminta pantau kesihatan pelajar, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 16 OKT: Semua guru di kawasan Pelabuhan Klang diminta memantau kesihatan pelajar masing-masing meskipun sekolah ditutup dua minggu.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan terdapat kes positif direkodkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya sebelum ini.

“Kita tidak mahu ada jangkitan baharu kerana penghidap virus ini juga tidak bergejala. Ibu bapa diminta segera membawa anak membuat saringan sekiranya mempunyai simptom Covid-19,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kelmarin, orang awam dilihat patuh terhadap peraturan ditetapkan.

“Jalan raya tidak sesak seperti selalu. Hanya mereka yang mempunyai hal penting sahaja keluar,” katanya.

Bermula kelmarin hingga 27 Oktober ini semua sekolah seluruh Selangor ditutup selepas kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPB akibat peningkatan kes Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: 542 lampu jalan LED di Pelabuhan Klang dijangka siap November

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sistem pencahayaan di beberapa kawasan sekitar Pelabuhan Klang terus dinaik taraf apabila sebanyak 542 unit lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar akan dipasang dan dijangka siap akhir November tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata projek menelan kos RM2.9 juta itu menggunakan pendawaian elektrik tanpa kabel bagi mendapatkan sumber tenaga elektrik sekali gus menjimatkan kewangan kerajaan.

“Sumber tenaga untuk menyalakan lampu solar LED ini diperoleh daripada cahaya matahari yang berfungsi mengecas bateri lampu tersebut dan tiada penyelenggaraan khusus diperlukan.

“Lampu ini akan menyala 12 jam sehari dengan kecerahan dikurangkan selepas jam 12 tengah malam bagi menjimatkan kuasa bateri, malah pihak pembekal memberikan jaminan bateri selama lima tahun,” kata Azmizam Zaman Huri.

Antara lokasi pemasangan lampu jalan LED adalah FT181 Lebuhraya Pulau Indah (95), FT347 Lingkaran Pulau Indah (82), FT3218 Jalan Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang (83), FT180 Jalan Pelabuhan Utara-Barat, Jambatan Jalan Kem, Pelabuhan Klang (92), FT103 Jalan Parang, Pelabuhan Klang (95) dan FT20 Lebuhraya Selat Klang (95).

Azmizam berkata inisiatif itu diharap mengatasi isu kecurian kabel dan wayar yang sering berlaku di kawasan terbabit sehingga menyebabkan banyak kawasan gelap selain membahayakan pengguna jalan raya.

“Semua unit kuasa seperti bateri dan panel solar akan berada di bahagian atas lampu pada ketinggian 10 meter yang bertujuan untuk mengelakkan kecurian serta vandalisma,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 200 tiang lampu dipasang bermula dari Persimpangan Lebuhraya Pulau Indah hingga ke Jambatan Sungai Pinang.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN kecam pihak buang sampah haram, mahu tindakan tegas dikenakan

SHAH ALAM, 17 JUN: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang menggesa tindakan tegas dikenakan ke atas pihak yang membuang sampah berhampiran Lebuhraya Pulau Indah.

Azmizam Zaman Huri berkata perbuatan tersebut menyebabkan penduduk kawasan perumahan berhampiran berdepan masalah pencemaran bau.

“Tinjauan mendapati sampah industri dibuang tanpa kebenaran agensi kerajaan malah ada kontena kosong berbau busuk dipercayai membawa sisa sampah dari luar negara turut dibuang di sini.

“Ini menyusahkan ramai pihak selain menjejaskan kesihatan masyarakat setempat terutamanya anak kecil dan warga emas yang terpaksa mencium bau busuk sampah setiap hari,” katanya melalui hantaran di Facebook semalam.

Susulan itu, Azmizam berharap Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Jabatan Alam Sekitar serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) memandang serius perkara ini kerana ia mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan penduduk.