Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Aplikasi Infaq Yide mudahkan orang ramai sedekah, lancar Mac ini

SHAH ALAM, 11 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) membangunkan aplikasi Infaq Yide bagi memudahkan orang ramai bersedekah secara digital.

Pengurus Besar Nur Mohd Razali Abdullah berkata aplikasi dibangunkan dengan kerjasama syarikat gerbang pembayaran Toyyib Pay hampir siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi Mac ini.

“Kira-kira 2,000 masjid, surau, rumah kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan dihimpunkan dalam aplikasi ini. Data yang ada tidak diragui dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk memberi sumbangan kerana tapisan dibuat Yide sendiri.

“Insya-Allah, aplikasi ini akan siap bulan ini sebelum dilancarkan bulan depan sempena Ramadan tidak lama lagi,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan pembangunan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah di Ibu Pejabat Yide di Seksyen 7 dekat sini semalam.

Hadir sama, Ketua Kluster Penciptaan Nilai MBI Daud Abd Rahman dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Mohd Razali turut memaklumkan aplikasi itu mesra pengguna selain cepat dan mudah untuk diakses tanpa membazirkan masa penderma.

“Penyumbang boleh berinfaq sepantas tiga minit dengan memilih mana-mana masjid, surau, rumah kebajikan atau NGO termasuk menetapkan masa dan tarikh untuk bersedekah.

“Paling penting, setiap penyumbang boleh mendapat resit pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) apabila bersedekah,” katanya lagi.