Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: 70 usahawan luar bandar tamat kursus, galak buka premis sendiri

SHAH ALAM, 26 FEB : Seramai 70 usahawan luar bandar berjaya menamatkan kursus program Pembangunan Usahawan Kampung Tradisi Selangor yang dilaksanakan selama setahun.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah berharap semua usahawan memanfaatkan ilmu yang diperoleh dengan membuka perniagaan sendiri termasuk berupaya membimbing pelapis baharu.

“Kita tidak mahu sesuatu kursus yang kita laksanakan ini apabila mereka terima sijil kemudian terhenti di situ sahaja tanpa meneruskan usaha untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang perniagaan.

“Saya harap mereka dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperoleh selama setahun menjalani kursus ini dan tidak berputus asa. Kita mahu perkasakan ramai usahawan luar bandar serta berdaya saing,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pembangunan Usahawan Kampung Tradisi Selangor di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini hari ini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat juga berbangga dengan beberapa usahawan Melayu yang masih mengekalkan perniagaan seperti urutan tradisional dan baik pulih kasut.

“Seperti kita lihat pekerjaan seperti membaiki kasut itu selalu dipelopori warga asing tetapi Alhamdulillah masih ada orang Melayu yang berminat membuat perniagaan ini.

“Tidak kurang juga saya difahamkan ada yang bekas akauntan, bekas jurutera yang terjejas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, apabila mereka ikuti kursus ini pendapatan lebih banyak berbanding pekerjaan sebelum ini,” katanya.

Program Pembangunan Usahawan Kampung Tradisi pertama kali dianjurkan bertujuan membantu lebih ramai penduduk di luar bandar maju dalam perniagaan.

Menerusi program selama setahun ini mereka diajar berhubung kemahiran antaranya seperti menjahit, mengurut, baik pulih gajet termasuk diberi asas pemasaran, pentadbiran dan pengurusan kewangan yang lebih sistematik.