Categories
AGENDA NASIONAL

Ikon Agro Selangor: Penggunaan teknologi bantu kurang risiko ternakan mati

SHAH ALAM, 8 FEB: Penggunaan teknologi dalam pertanian membantu usahawan, Siti Nurul Aishah Zakariah mengelak ternakan udang kara yang diusahakannya daripada risiko mudah mati.

Pengasas SMaju Agro Venture itu berkata penggunaan ‘parameter monitoring system’ banyak membantu menguruskan kerja-kerja harian khususnya memantau kolam ternakan.

“Kita boleh pantau pH air, suhu di mana kita tak perlu lagi ke pam untuk buat ujian di setiap kolam. Kita hanya lihat data tersebut melalui telefon atau pun komputer.

“Sistem akan hantar mesej sekiranya dekat pam berlaku masalah penurunan suhu, pH dan sebagainya. Tanpa sistem ini kita perlu lakukan ujian air secara manual, ada 20 kolam jadi 20 kolam kita kena buat,” katanya.

Pemenang, Siti Nurul Aishah Zakariah

Siti Nurul Aishah berkata beliau menggunakan sistem berkenaan sejak 2018 selepas mendapati kaedah itu adalah yang terbaik bagi memastikan udang kara ternakan tidak mudah mati.

“Ia dapat mengurangkan masa, kos buruh, peralatan dan yang paling penting mengurangkan kematian udang kara,” katanya.

Jelasnya kaedah itu membantu menjadikan pusat ternakannya sebagai tempat pengumpulan udang kara bagi 300 penternak yang lain.

“Sebanyak satu tan udang kara dapat dikumpul dalam satu-satu masa di mana kita membantu penternak lain memasarkan udang kara mereka,” katanya.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga usaha tani yang dianugerahkan Ikon Agro Selangor 2021 pada majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Orkid, Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, semalam.

Dua usahawan tani yang turut diangkat sebagai Ikon Agro Selangor 2021 adalah pengusaha tanaman buah naga, Sam Chia dan pengusaha cendawan, Peggy Cheng.

Penganugerahan itu melayakan mereka menerima hadiah wang tunai dan bantuan input agro bernilai RM10,000 serta trofi.