Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA sedia bas percuma bantu mangsa banjir terima bantuan negeri

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk membawa mangsa banjir ke program Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Perkhidmatan itu melintasi dua laluan dari Dewan Kampung Sungai Kandis dan Padang Rakyat Kampung Jalan Kebun menuju Dewan Kemuning, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

“Ini bagi membantu mereka menerima bantuan seperti penduduk Taman Sri Muda dan Sungai Kandis.
“Perkhidmatan bas setiap satu jam bermula 8.30 pagi tadi,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau berkata perkhidmatan itu tidak terhad untuk hari ini sahaja sebaliknya diteruskan sehingga bantuan negeri kepada penduduk terjejas selesai.

Jelasnya, pergerakan bas untuk program BSB berikutanya akan dimaklumkan di media sosial MBSA antaranya Facebook dan Twitter dari semasa ke semasa.

“Kita minta mangsa yang menghadapi masalah pengangkutan untuk menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Hujan lebat luar biasa pada Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.