Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpaskan sindiket curi kereta Wira sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dengan sindiket mencuri kenderaan Proton Wira di sekitar kawasan Lembah Klang, dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Selangor sejak 9 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai semua suspek yang berumur 24 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar Sentul, Petaling Jaya dan Rawang oleh Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerusi Ops Lejang Wira yang dilaksanakan sehingga dua hari lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang didalangi dua lelaki itu menyasarkan kereta Proton Wira bagi mendapatkan komponen kenderaan, yang akan dijual kepada individu yang berminat serta pemilik kedai alat ganti kenderaan di sekitar Gombak, manakala komponen seperti bateri dijual di kedai barangan lusuh.

“Dalam Ops ini, polis turut merampas empat kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang bernilai kira-kira RM24,000, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga anak kunci tertera tulisan Proton, dua kad Touch & Go, dua unit mesin Smart Tag, satu spanar T yang telah diubah suai, tiga ‘allen-key yang ditajamkan serta spanar yang disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar Taman Kok Doh di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, dengan suspek utama merupakan bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan baharu selesai menjalani hukuman.

Beh berkata enam suspek direman selama seminggu bermula 10 Februari bagi membantu siasatan manakala dua lagi suspek dilepaskan dengan jaminan dan akan dijadikan sebagai saksi, manakala seorang suspek telah dituduh di mahkamah semalam atas kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kenderaan yang dilaporkan dengan empat kes di Kuala Lumpur dan satu di Selangor.

-BERNAMA