Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor tuan rumah siri pertama memanah kebangsaan, lebih 400 turut serta

BANGI, 14 FEB: Seramai 442 peserta menyertai Kejohanan Memanah Kebangsaan Sirkit 1/2022 yang berlangsung sejak Selasa hingga semalam di Stadium Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dekat sini.

Pengelola pertandingan yang juga presiden Persatuan Memanah Selangor berkata program melibatkan 18 persatuan dari seluruh negara menjadi medan mengenal pasti bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili Malaysia.

“Ini siri pertama dan Selangor menjadi tuan rumah. Selepas ini kejohanan bakal berlangsung di Johor dan Sabah untuk memilih atlet terbaik dalam acara ini.

“Mereka dikenal pasti sebagai jaguh dan berpotensi tinggi akan membawa nama negara di sukan berprestij seperti Sukan SEA dan Asia,” kata Datuk Rosli Atan.

Presiden Persatuan Memanah Selangor, Datuk Rosli Atan bercakap kepada media ketika Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan di Stadium MPKj, Bandar Baru Bangi pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata kejohanan berjalan lancar meskipun terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat memandangkan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

“Kami tubuhkan jawatankuasa yang memantau pematuhan SOP terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. Pertandingan juga berjalan tanpa kehadiran penonton.

“Terima kasih kepada MPKj yang menyediakan lokasi strategik selain kemudahan dan fasiliti lengkap. Ia memudahkan urusan pertandingan,” katanya.

Kejohanan berkenaan mendapat tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Elda Archery dan Al Fadzil Agency.