BANGI, 14 FEB: Seramai 442 peserta menyertai Kejohanan Memanah Kebangsaan Sirkit 1/2022 yang berlangsung sejak Selasa hingga semalam di Stadium Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dekat sini.
Pengelola pertandingan yang juga presiden Persatuan Memanah Selangor berkata program melibatkan 18 persatuan dari seluruh negara menjadi medan mengenal pasti bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili Malaysia.
“Ini siri pertama dan Selangor menjadi tuan rumah. Selepas ini kejohanan bakal berlangsung di Johor dan Sabah untuk memilih atlet terbaik dalam acara ini.
“Mereka dikenal pasti sebagai jaguh dan berpotensi tinggi akan membawa nama negara di sukan berprestij seperti Sukan SEA dan Asia,” kata Datuk Rosli Atan.
Beliau berkata kejohanan berjalan lancar meskipun terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat memandangkan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
“Kami tubuhkan jawatankuasa yang memantau pematuhan SOP terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. Pertandingan juga berjalan tanpa kehadiran penonton.
“Terima kasih kepada MPKj yang menyediakan lokasi strategik selain kemudahan dan fasiliti lengkap. Ia memudahkan urusan pertandingan,” katanya.
Kejohanan berkenaan mendapat tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Elda Archery dan Al Fadzil Agency.